27
Mon, Apr

ZON MARITIM LAHAD DATU SIAP SIAGA, SEGERA BANTU MANGSA BANJIR

LAHAD DATU, 31 JANUARI – Zon Maritim Lahad Datu kekal dalam keadaan siap siaga 24 jam bagi memberikan bantuan kepada mangsa banjir di daerah ini susulan pengumuman bencana oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) pada 29 Januari lalu.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar bin Ali, berkata pihaknya bersama Ahli Parlimen Lahad Datu, Dato’ Mohammad Yusof Apdal, telah meninjau situasi di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang kini menempatkan seramai 443 mangsa.

“Setakat ini, seramai 146 mangsa ditempatkan di Dewan VTC Segama, 20 orang di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Terusan Silam, dan 267 lagi di Dewan Kolej Vokasional Lahad Datu Segama,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa selain Maritim Malaysia, beberapa agensi lain turut digerakkan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). Semua pasukan penyelamat kini menunggu arahan lanjut daripada JPBD bagi memastikan operasi bantuan berjalan lancar.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa berwaspada ketika melakukan aktiviti di perairan, terutama dalam keadaan cuaca buruk ketika ini.

“Aspek keselamatan bot atau vesel perlu dititikberatkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. Kami menasihati orang ramai agar berhati-hati dan segera mendapatkan maklumat terkini sebelum turun ke laut,” tambahnya.

Sebarang aduan mengenai kegiatan jenayah atau insiden kecemasan di laut boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Lahad Datu melalui WhatsApp di talian 016-9305727 atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

 

SABAH BANTU3
 
SABAH BANTU4
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON