PUTRAJAYA, 20 JANUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan memanfaatkan Asia International Security Summit & Expo 2025 (AISSE’25) sebagai platform untuk meneroka dan memahami teknologi keselamatan maritim terkini.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah berkata, langkah ini selaras dengan usaha Agensi dalam memperkukuhkan keupayaan pengawasan dan keselamatan perairan negara sebagaimana Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040.
Ujar beliau lagi, penyertaan ini juga seiring dengan Teras Tujuh yang diperkenalkan beliau iaitu ‘Penggunaan Teknologi’ dalam menjaga keselamatan perairan negara dengan lebih efektif.
“AISSE’25 adalah peluang terbaik untuk Maritim Malaysia mengakses teknologi keselamatan terkini, sekaligus meningkatkan keupayaan Agensi dalam memantau dan melindungi perairan negara,”
“Saya turut berharap AISSE’25 akan membentuk rangkaian strategik Maritim Malaysia yang lebih kukuh di peringkat antarabangsa dalam memerangi ancaman jenayah rentas sempadan,” jelas Datuk Haji Mohd Rosli.
Beliau berkata demikian selepas hadir di Majlis Perasmian AISSE’25 yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid bin Hamidi di sini hari ini.
Turut hadir sama Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik bin Jeman serta ketua-ketua jabatan di bawah KDN.
Sementara itu, Datuk Haji Mohd Rosli turut menyahut hasrat Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya untuk melihat Malaysia terus berada dalam kelompok 10 negara paling aman di dunia.
Untuk itu jelas Datuk Haji Mohd Rosli, Maritim Malaysia akan meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan bekerjasama dengan agensi sahabat dalam memerangi aktiviti salah laku dan ancaman jenayah maritim di seluruh negara.
Selain persidangan, Maritim Malaysia turut menyertai pameran di reruai KDN dengan menampilkan aset milik Agensi seperti jetski dan Mobile Surveillance Unit (MSU). Selain itu, pengunjung pameran turut berpeluang merasai simulasi operasi penguatkuasaan maritim melalui aktiviti Virtual Reality (VR) yang menarik.
AISSE’25 yang berlangsung 20 hingga 22 Januari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menghimpunkan lebih 100 organisasi keselamatan, lebih 1,000 delegasi persidangan, dan 50 delegasi VIP dari lebih 20 negara.
Acara ini menjadi landasan penting untuk membincangkan isu-isu seperti keganasan, ekstremisme, penyeludupan, dan ancaman keselamatan siber.













