LABUAN, 15 JANUARI – Zon Maritim Labuan telah menahan sebuah kapal kargo di kedudukan 1.16 batu nautika Barat Daya Pulau Papan, Labuan pada jam 11.20 pagi semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Izwanhadi bin Hj. Idros berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam rondaan OP SEJAHTERA 1/2022 dan OP TIRIS 3.0 telah melakukan pemeriksaan terhadap kapal kargo bewarna hijau yang sedang bersauh.
Hasil pemeriksaan, kapal kargo itu dipercayai dikendalikan oleh seorang Master berumur 57 tahun dan Chief Officer berumur 50 tahun, masing-masing adalah warga tempatan.
Bot disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu gagal mengemukakan pertukaran nahkoda kepada pegawai pelabuhan .
Master dan Chief Officer berserta dokumen telah ditahan dan diiring masuk ke jeti Zon Maritim Labuan untuk siasatan lanjut.
Izwanhadi berkata, orang ramai boleh menyalurkan informasi kelakuan jenayah di laut dengan terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam setiap hari.









