PELABUHAN KLANG, 1 JANUARI – Maritim Negeri Selangor menahan sebuah kapal kargo kerana berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 26 batu nautika barat daya Sekinchan pada jam 1.40 petang, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, kapal itu ditahan ketika bot ronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan operasi bersepadu OP EHSAN dan OP TIRIS di perairan Negeri Selangor.
Penahanan ini berikutan hasil maklumat dan kerjasama dengan Jabatan Laut Malaysia Wilayah Tengah (JLMWT) serta Area Control Centre (ACC) SWASLA Klang yang telah mengesan kedudukan kapal ini berlabuh di luar batas Pelabuhan Klang tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
Kapal terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Singapura menuju ke India bersama 22 kru lelaki termasuk nahkoda berusia di antara 28 hingga 63 tahun kesemua mereka adalah warga China yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan, manakala dua kru kapal telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya perairan Negeri Selangor.
Pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia sebelum melabuhkan sauh dan perlu mengikut peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia.
Jika terdapat aduan dan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, sila hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 yang beroperasi secara 24 jam atau talian kecemasan 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia.











