LUMUT, 23 OKTOBER – Sebuah vesel pukat jerut bilis ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak selepas dipercayai menggunakan kaedah menarik pukat berhampiran kawasan daratan di lokasi 0.1 batu nautika barat Pulau Pangkor, Perak kira-kira pada jam 4.15 petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, tinjauan secara dekat oleh anggota bot ronda Maritim Malaysia di lokasi terbabit mengesahkan vesel tersebut sedang melakukan aktiviti perikanan yang tidak dibenarkan bagi mengaut keuntungan yang besar.
Hasil pemeriksaan mendapati, vesel terbabit dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan dan dibantu oleh enam kru warga tempatan, tujuh kru warga Myanmar serta seorang kru warga Indonesia berumur dalam lingkungan umur 26 hingga40 tahun.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu beroperasi kurang daripada 1 batu nautika dari pantai.
Kesemua nelayan ditahan, manakala bot dan hasil tangkapan ikan bilis dianggarkan 80 kilogram serta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia menegaskan agar komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil.
Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak (05-6838737) atau talian kecemasan NG 999 untuk maklum balas segera.













