PONTIAN, 19 OGOS – Maritim Negeri Johor menahan tujuh lelaki dan seorang wanita warga Indonesia bersama seorang lelaki warga tempatan dalam satu operasi penguatkuasaan yang dilakukan, pagi semalam.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Kama Azri bin Kamil berkata, tahanan dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia pada sekitar jam 8.10 pagi di kedudukan 7.3 batu nautika timur laut Pulau Pisang setelah mengesan sebuah bot bergerak dalam keadaan mencurigakan disyaki membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki perairan Johor.
Pasukan operasi cuba mengekori bot terbabit namun gagal kerana ia menghala ke kawasan cetek di kuala Sungai Sanglang.
Berdasarkan maklumat itu, pasukan operasi Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi yang dikenal pasti untuk meneruskan tindakan menahan kesemua lapan warga Indonesia bersama seorang lelaki warga tempatan yang disyaki menjadi tekong darat.
Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.











