PULAU PINANG, 19 JULAI – Satu operasi bersepadu di antara Maritim Negeri Pulau Pinang bersama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Pulau Pinang telah dilancarkan di sekitar 2.1 batu nautika barat laut Pulau Aman pada petang baru-baru ini.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang Kepten Maritim Razali bin Kasim berkata, operasi seperti ini akan kerap dilakukan dalam rutin penguatkuasaan sebagai jalinan usaha sama dalam menangani tanggungjawab penguatkuasaan di laut.
Menurut beliau, pemeriksaan menyeluruh telah dilakukan oleh enam pegawai wakil daripada MAQIS serta beberapa anggota pasukan bot Maritim Malaysia.
Dalam operasi itu sebuah kapal yang dalam perjalanan dari Hong Kong ke Phuket Thailand telah diperiksa dari aspek dokumen yang lengkap, muatan serta kualiti anak benih ikan yang dibawa, dipercayai untuk dihantar ke sebuah sangkar ikan di sekitar perairan Pulau Aman.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kapal itu mempunyai dokumen muatan yang sah dan operasi selesai pada kira-kira jam 5.00 petang.













