MIRI, 5 JULAI – Zon Maritim Miri telah menahan sebuah vesel penangkapan ikan tempatan kelas C dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen ketika diperiksa.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, vesel itu ditahan Kapal Peronda Maritim Malaysia ketika melakukan rondaan OP PERMAI, OP NAGA TIMUR dan OP TIRIS 3.0 di kedudukan 8.5 batu nautika Barat Tanjung Lobang, Miri semalam.
Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh tiga kru warga tempatan dalam lingkungan umur 25 hingga 55 tahun dan telah menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan.
Vesel serta kesemua kru diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Miri untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia akan terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan tidak akan berkompromi ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang ingkar.
Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 / Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak 082-432544/ 082-432016 untuk maklum balas segera.










