MERSING, 4 JUN – Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) oleh Zon Maritim Mersing telah menemukan seorang lelaki yang dipercayai hilang ketika mencari kerang di kedudukan 400 meter dari Pantai Tenglu Laut, Mersing lebih kurang pada jam 6.35 petang tadi.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Operasi CARILAMAT yang dikoordinasikan oleh Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru pada hari kedua itu meliputi keluasan sektor pencarian 12 batu nautika persegi di sekitar perairan Mersing.
Pencarian itu dilakukan melalui persisiran pantai dan tinjauan udara menggunakan dron seterusnya mangsa berjaya ditemukan dengan bantuan waris mangsa.
Operasi CARILAMAT ini diatur gerak dengan menggunakan bot ronda Maritim Malaysia dan dibantu oleh sebuah bot ronda Pasukan Polis Marin (PPM) RH 32, dua buah bot ronda Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Daerah Mersing dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Mersing dan bot penduduk kampung setempat.
Terdahulu, mangsa Hafiz Nursalam Ahmad, 21, warga tempatan yang bekerja sendiri kali terakhir dilihat memakai baju t-shirt berwarna oren berlengan panjang dan berseluar denim hilang ketika mencari kerang di pantai Tenglu Laut, Mersing ditemukan berhampiran dengan pantai lokasi mangsa dipercayai hilang pada jam 10.00 pagi semalam.
Maritim Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua jabatan dan pihak yang terlibat dalam melaksanakan OP CARILAMAT itu yang ditamatkan pada jam 7.30 petang tadi.
Maritim Malaysia menasihati seluruh komuniti maritim agar mengutamakan keselamatan sebelum dan semasa melakukan aktiviti di pantai mahupun di laut.
Sebarang maklumat, aduan serta insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.











