02
Sat, May

BOT DILANGGAR KAPAL KARGO, EMPAT NELAYAN INDONESIA BERJAYA DISELAMATKAN

LUMUT, 18 MEI – Maritim Negeri Perak telah memberi bantuan kepada empat orang nelayan warga Indonesia yang diselamatkan oleh kapal kargo CMA CGM RIVOLI sekitar pukul 7.05 pagi, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Perak telah menerima maklumat daripada MRSC Langkawi dan telah mengatur gerak aset KM MALAWALI yang diketuai oleh Leftenan Komander Maritim Arizan Hakimi bin Mohd Zin ke lokasi pertemuan pada jarak 4.1 batu nautika dari barat pulau Jarak, Perak bagi mengambil kesemua mangsa dari kapal kargo CMA CGM RIVOLI untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, empat nelayan terbabit ditemui dalam keadaan terapung berpaut pada serpihan kayu dan tong ikan selepas bot yang dinaiki mereka dilanggar oleh sebuah kapal kargo yang disyaki bernama MOL ketika cuaca hujan lebat dan angin kencang pada jarak 90.6 batu nautika dari barat daya Pulau Pinang sekitar pukul 9.00 pagi Khamis lalu dan telah diselamatkan oleh kapal kargo CMA CGM RIVOLI sekitar pukul 7.00 petang hari yang sama.

Tiga mangsa, Muhamad Solihin, 53, Dady Shahputra, 39 dan Asri, 44 berada dalam keadaan sihat dan selamat. Manakala seorang lagi mangsa, Jampur, 53 tahun mengalami kecederaan pada tangan, rusuk dan kaki kanan akibat terkena serpihan kaca. Hasil maklumat daripada keempat empat mangsa, seorang lagi kru bot yang dikenali sebagai Abdul Malek, 56 dipercayai masih hilang.

Mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Seri Manjung bagi mendapatkan rawatan susulan. Kesemua nelayan tersebut berasal dari Medan, Indonesia telah diserahkan kepada Maritim Negeri Perak untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian berasingan, Maritim Negeri Perak telah merampas sebanyak 25 set bubu naga atau bubu kamban di kedudukan sekitar 1.9 batu nautika dari barat daya Pulau Talang, Perak sekitar pukul 4.20 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, bubu ini dikesan oleh sepasukan bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang melaksanakan rondaan dengan penemuan bendera serta pelampung yang diikat pada pancang kayu mencurigakan di lokasi terbabit.

Kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai hampir RM2 ribu itu dirampas dan kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Jika disabitkan kesalahan, individu yang melakukan kesalahan berkenaan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

 

LUMUT INDO 2
 
LUMUT INDO 3
 
LUMUT INDO 4
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON