20
Mon, May

TIGA KRU NELAYAN WARGA MYANMAR DITAHAN MARITIM MALAYSIA

KUALA KURAU, 4 Mei - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 jenis pukat tunda bersama tiga kru nelayan warga Myanmar pada kedudukan 11.3 batu nautika barat daya Kuala Gula, Perak pada sekitar jam 4.15 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan bin Azman Hamid berkata, semasa rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang, pasukan bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan bot itu dan dirapati untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan menemukan seramai tiga kru nelayan warga Myanmar termasuk tekong berumur 23 hingga 39 tahun dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah berada di atas bot itu.

Pemeriksaan lanjut mendapati, bot terbabit memiliki lesen yang sah namun tekong gagal mengemukakan kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan bot tidak diusahakan sendiri oleh pemilik.

Kesemua kru nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran serta bot tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya.

Maritim Malaysia menasihati seluruh komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan bersama.

Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2023 05 04 at 16.31.47 3

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON