20
Mon, May

KAPAL MT PABLO TERBAKAR, PENCARIAN TIGA KRU MASIH HILANG DITERUSKAN

JOHOR BHARU, 2 Mei - Operasi CARILAMAT kapal tangki MT Pablo yang dilaporkan terbakar semalam telah memasuki hari kedua dengan misi pencarian tiga orang kru kapal berkenaan yang masih hilang dilaksanakan pasukan SAR yang dikoordinasikan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Mangsa berkenaan dikenali sebagai Satyam Tripathi, 26 dan Dinesh Kumar Chauhan, 34 masing-masing merupakan warganegara India. Seorang lagi mangsa ialah Sabit Shenderovsky, 37 warganegara Ukraine.

Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) yang juga Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, seramai 25 orang kru MT Pablo berjaya diselamatkan.

Daripada jumlah berkenaan empat orang kru mengalami kecederaan serius di tangan, pinggang dan kaki. Kesemua mereka telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan di sana.

Datuk Saiful menambah, sebuah pesawat udara AW 139 milik Maritim Malaysia bersama sembilan buah aset laut dari Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Laut Malaysia dan Pelabuhan Johor dan Pasir Gudang dengan kekuatan seramai 136 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi ini.

Sehingga waktu ini aset yang terlibat di dalam Op CARILAMAT ini sedang mempergiatkan usaha untuk mencari dan menyelamat tiga lagi mangsa yang masih belum ditemui. Kawasan pencarian oleh pasukan SAR dibahagikan kepada empat sektor dan telah diperluaskan sehingga 71 batu nautika persegi dari tempat kejadian.

Semalam, kapal tangki MT Pablo yang berdaftar dari Gabon, Afrika dengan jumlah 28 orang kru terdiri daripada warganegara India, Ukraine, Rusia dan Pakistan sedang dalam perjalanan dari China menuju ke Singapura sebelum terbakar di kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili pada sekitar pukul 3 petang.

 

MT PABLO 3   MT PABLO 4   MT PABLO 5

 

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON