20
Mon, May

DUA BOT NELAYAN ASING DITAHAN CEROBOH PERAIRAN LANGKAWI

LANGKAWI, 15 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perliis menahan dua bot nelayan Indonesia di kedudukan lebih kurang 6 batu nautika barat daya Pulau Segantang, Langkawi pada lewat pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, dua bot terbabit ditahan ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

Hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-dua bot masing-masing dikendalikan oleh enam kru termasuk tekong berumur lingkungan 16 hingga 40 tahun.

Kesemua 12 nelayan Indonesia ini ditahan kerana didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan bot tidak mempunyai permit menangkap ikan daripada Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

Sebelum ini tular di media sosial mengatakan bahawa Maritim Malaysia tidak menghiraukan aduan dari komuniti nelayan. Isu ini telah dapat disangkal dengan kejayaan tangkapan dua bot berkenaan.

Bot, peralatan menangkap ikan, hasil laut kira-kira 200 kilogram ikan campur dan bekalan diesel 230 liter turut ditahan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Seksyen 16 (3) akta yang sama kerana gagal memberitahu pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia.

Sabitan di atas kedua-dua kesalahan itu boleh dihukum denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600 ribu ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985.

Bot dan peralatan menangkap ikan boleh dilucuthak kepada kerajaan Malaysia jika sabit kesalahan.

Kesemua kru juga akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Sebarang maklumat berkenaan penguatkuasaan dan carilamat, orang ramai boleh menghubungi MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 untuk maklum balas segera.

 

Nelayan Asing 2 
 
Nelayan Asing
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON