26
Fri, Apr

LAGI WARGA ASING DITAHAN KERANA BEKERJA DI ATAS BOT NELAYAN TANPA KEBENARAN

PELABUHAN KLANG, 28 Januari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah menahan empat warga asing kerana bekerja di atas bot nelayan tempatan Kelas B1 di perairan Kuala Selangor pada sekitar jam 10.57 malam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, bot kelas B1 itu dikesan menerusi radar Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) menerusi maklumat Pusat Kawalan Kawasan (ACC) Klang pada kedudukan 3.9 batu nautika Kuala Selangor dalam OP EHSAN.

Penahanan dibuat setelah bot itu didapati melakukan aktiviti penangkapan ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.

Hasil pemeriksaan awal pasukan Maritim Malaysia mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong dan tiga kru warga Myanmar berusia antara 32 hingga 39 tahun.

Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, dua daripada mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah namun dua lagi disyaki PATI dan pemilik bot telah melakukan kesalahan kerana menggajikan warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Turut ditemukan di atas bot ialah kira-kira 30 kilogram ikan campur ketika penahanan dibuat.

Kesemua nelayan dan bot dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan pada kedudukan kurang lapan batu nautika dari pesisir pantai dan menggunakan warga asing tanpa kebenaran dan Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2023 01 30 at 08.45.36

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON