KUCHING, 8 MEI – Maritim Negeri Sarawak telah menyertai pameran kerjaya di Sekolah Kebangsaan Goebilt anjuran Unit Bimbingan Kaunseling dan Kerjaya sempena Karnival Bahasa Melayu 2024 di sekolah itu, pagi tadi.
Pameran yang bermula pada jam 9 pagi hingga 1.30 tengah hari itu dihadiri 300 orang murid, ibu bapa dan kakitangan sekolah.
Antara agensi lain yang turut terlibat ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).
Objektif penglibatan Maritim Malaysia dalam pameran ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada golongan murid dan masyarakat mengenai peranan dan tugas yang dilaksanakan Agensi.
Dalam pameran itu, Maritim Malaysia mempamerkan beberapa pucuk senjata, pakaian operasi dan peralatan penyelam penyelamat yang digunakan ketika melakukan tugas penguatkuasaan dan CARILAMAT di laut.
Diharapkan dengan penglibatan Maritim Malaysia dalam pameran seperti ini, mampu menarik minat para murid untuk memilih kerjaya sebagai anggota Maritim, menanam cita-cita dan menimba ilmu dengan lebih tekun sekaligus membantu memberikan gambaran jelas mengenai peranan Agensi secara bersemuka.