PULAU PINANG, 6 MEI - Maritim Negeri Pulau Pinang menyertai Program Jalinan Ukhuwah MADANI anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Padang Sekolah Kebangsaan Pulau Aman, Seberang Perai Selatan pada 5 Mei (Ahad).
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali bin Kasim berkata, Maritim Negeri Pulau Pinang bersama dua bot diatur gerak bagi memberi kerjasama dalam menyertai program yang dihadiri oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), YBhg. Dato' Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz.
Mengulas lanjut mengenai program tersebut, Razali berkata program ukhwah MADANI ini bertujuan menjadikan Kampung Pulau Aman, Pulau Pinang ini sebagai Kampung Angkat MADANI di bawah inisiatif Belanjawan 2024 dengan memberikan tumpuan kepada kemudahan asas yang lengkap termasuk internet di kawasan luar bandar yang melibatkan 40 buah kampung di seluruh negara.
Terdahulu Dato' Sri Wan Ahmad Dahlan turut berbesar hati menyampaikan sumbangan kepada pelajar sekolah dan penduduk di Pulau Aman sebelum majlis bersurai.