23
Thu, Apr

SEORANG WARGA INDONESIA DAN BOT PUKAT TUNDA KELAS C DITAHAN ATAS PELBAGAI KESALAHAN

ALOR SETAR, 18 Februari – Seorang wanita warga Indonesia ditahan dalam satu pemeriksaan yang dilakukan ke atas sebuah feri penumpang di kedudukan 2.3 batu nautika muara Kuala Kedah pada pukul 2.15 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, tangkapan itu dibuat oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang dalam rondaan rutin OP AMAN di sekitar perairan Kuala Kedah sebelum menerima maklumat risikan dan menahan feri berkenaan yang dalam perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah.

Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas feri berkenaan, anggota penguat kuasa mendapati dokumen perjalanan wanita berkenaan telah tamat tempoh pada tahun 2020.

Berikutan itu, wanita berkenaan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang dari RM10 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Zon Maritim Kuala Kedah turut menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C kerana menggunakan alat komunikasi tidak berdaftar di kedudukan sekitar 4.8 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah pada 14 Februari lalu.

Menurut Komander Maritim Noor Azreyanti, tangkapan bot nelayan tempatan dilakukan bot ronda Maritim Malaysia di sekitar perairan Kuala Kedah.

Hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan telah memiliki satu alat komunikasi jenis radio Very High Frequency (VHF) jenis SHIP STATION SS-24 yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Bot ditahan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana menggunakan peralatan komunikasi yang tidak dibenarkan dan tidak memiliki sebarang surat kebenaran penggunaannya.

Bot berkenaan turut didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dengan melanggar syarat sah lesen kerana pemilikan alat perhubungan komunikasi yang diluluskan.

Kesemua suspek yang ditahan bersama bot dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

Pihak Maritim Malaysia mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut ke talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

 

BOT TUNDA KEDAH   BOT TUNDA KEDAH 4   BOT TUNDA KEDAH 2   BOT TUNDA KEDAH 3

MEDEVAC | MARITIM MALAYSIA BANTU BAWA MANGSA TERLANTAR

MERSING, 15 Februari – Zon Maritim Mersing telah melaksanakan misi bantuan evakuasi perubatan (MEDEVAC) dengan membawa seorang pesakit yang terlantar selama empat hari dipercayai mengalami kekurangan oksigen dari Pulau Aur ke Jeti Syahbandar Mersing petang semalam.

Pengarahnya, Komander Maritim Suhaizan bin Saadin berkata, bot ronda Maritim Malaysia PERKASA 31 yang sedang dalam rutin OP JAKSA diarahkan ke lokasi bantuan setelah menerima aduan daripada seorang doktor yang bertugas di pulau tersebut.

Walaupun dalam keadaan hujan dan laut yang bergelora, bantuan MEDEVAC tersebut telah berjaya membawa mangsa Nursimah binti Ismail, 79 yang telah terlantar selama empat hari kerana kekurangan oksigen dan sesak nafas, dari Pulau Aur ke Jeti Syahbandar Mersing pada pukul 5.30 petang hari yang sama.

Mangsa kemudiaanya telah diserahkan kepada pihak Hospital Mersing dalam keadaan baik dan selamat.

Maritim Malaysia akan sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi apa jua keadaan dalam memberi khidmat bakti kepada komuniti maritim setempat.

Sebarang aduan kecemasan dan aduan keselamatan dilaut segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404.

 

MEDEVAC MERSING
 
MEDEVAC MERSING 2

CARILAMAT | VESEL BOS AZLINA DITENGGELAMI AIR DI PERAIRAN BINTULU

BINTULU, 15 Februari – Zon Maritim Bintulu telah menerima isyarat distress dari Vesel Bos Azlina di posisi sembilan batu nautika dari barat laut Kuala Kemena, Bintulu semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Iszuadi bin Muhamad Hassan berkata, maklumat awal yang diterima aset maritim BOT KILAT 44 memaklumkan, vesel terbabit dilaporkan telah separuh ditenggelami air dan terdapat lapan kru termasuk master kesemuanya adalah lelaki warga Indonesia berumur dalam lingkungan 31 hingga 48 tahun.

Semasa BOT KILAT 44 dalam rutin rondaan di sekitar perairan Bintulu kira-kira pada pukul 11.56 pagi, aset Maritim itu telah menerima isyarat kecemasan melalui radio very high frequency (VHF) berkenaan insiden Vesel Bos Azlina yang hampir karam.

BOT KILAT 44 terus melaporkan insiden itu kepada Pusat Operasi (PUSOP) Zon Maritim Bintulu memaklumkan kejadian itu kepada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching.

Seterusnya BOT KILAT 44 bergegas ke lokasi untuk memberi bantuan kepada vesel tersebut sejurus laporan dibuat.

Menurut kenyataan master vessel terlibat, beliau telah menghubungi teksi air (Kuda Laut 1) untuk menyelamatkan mereka.

Kesemua kru vesel selamat dikeluarkan pada sekitar pukul 12.30 tengah hari dengan bantuan teksi air dan dipantau oleh Maritim Malaysia.

Keadaan tidak dapat dikawal setelah hampir kira-kira satu jam, vessel itu telah ditenggelami air sepenuhnya.

Punca kejadian masih lagi disiasat manakala ejen vesel telah dihubungi dan akan mengambil tindakan bagi membantu mangsa.

Sebarang maklumat salah laku atau kegiatan jenayah dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk tindakan segera.

 

VESEL TENGGELAM 2   VESEL TENGGELAM 3   VESEL TENGGELAM 4

PAS LAWATAN KERJA SEMENTARA TAMAT TEMPOH, LIMA WARGA ASING DITAHAN

KUALA PERLIS, 16 Februari – Lima warga asing telah ditahan Zon Maritim Kuala Perlis di kedudukan 0.2 batu nautika dari barat daya Pulau Langgun, Langkawi, Kedah Selasa lalu.

Dalam kejadian berkenaan, bot ronda Zon Maritim Kuala Perlis yang sedang melakukan rondaan OP AMAN dan OP TIRIS 3.0 di sekitar perairan Langkawi telah menghampiri sebuah sangkar ikan milik sebuah syarikat bagi memeriksa dokumen setiap pekerja sangkar.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim bin Mat Zain berkata, hasil pemeriksaan mendapati, Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) lima pekerja asing terdiri daripada seorang warga Indonesia dan empat warga India masing-masing berumur 28 hingga 29 tahun telah tamat tempoh.

Jelas beliau lagi, kesemua Orang Yang DiSyaki (OYDS) kemudiannya telah dibawa masuk ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis, Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), iaitu tinggal di Malaysia setelah pas atau permit tamat atau dibatalkan.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 serta talian MERS 999.

 

PLKS KUALA PERLIS 3
 
PLKS KUALA PERLIS

HUT 19 | 19 TAHUN LAKSANA TANGGUNGJAWAB JAGA KESELAMATAN PERAIRAN NEGARA

KUANTAN, 15 Februari – Maritim Malaysia telah melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan sebaiknya dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan negara sejak ia ditubuhkan 19 tahun yang lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah berkata, dengan adanya Maritim Malaysia, empat sektor penyumbang ekonomi maritim iaitu perikanan, pelancongan, perkapalan dan hidrokarbon dapat dijalankan dengan selamat.

Katanya lagi, melihat kepada kepentingan berkenaan, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyalurkan peruntukan besar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan Maritim Malaysia mempunyai aset baharu yang berkeupayaan tinggi selain menyelenggara aset-aset sedia ada agar Agensi ini dapat melaksanakan pengawasan dan operasi di Zon Maritim Malaysia dengan sempurna.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Ke 19 (HUT19) Maritim Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN Dr. Gafar Abu Bakar serta Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin.

Mengulas lanjut tentang aset baharu Maritim Malaysia, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar memaklumkan selepas Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) yang telah diserahkan kepada Maritim Malaysia pada 2 Januari lalu, KDN baru-baru ini telah mengeluarkan Surat Setuju Terima bagi perolehan empat buah helikopter bersaiz sederhana model Agusta Westland 189 untuk Agensi ini mempertingkatkan lagi pemantauan udara di kawasan sempadan negara khususnya di Sabah dan Sarawak.

Selain pertambahan aset, Maritim Malaysia turut diminta untuk meningkatkan pelaksanaan operasi bersepadu bersama agensi yang berkaitan bagi memastikan perairan negara kekal selamat dari pelbagai ancaman jenayah.

Ini bertepatan dengan arahan yang dikeluarkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini agar semua pasukan keselamatan negara termasuk Maritim Malaysia dapat berganding bahu membanteras aktiviti penyeludupan yang mengakibatkan negara mengalami kerugian puluhan bilion ringgit.

Untuk rekod pada tahun 2023, lebih 181,000 pemeriksaan, 43,000 penggeledahan dan 1,200 jumlah tangkapan atas pelbagai kesalahan yang dilakukan pihak Agensi ini di kawasan perairan negara. Manakala nilai rampasan yang berjaya dikutip sepanjang tahun 2023 adalah kira-kira RM101.9 Juta.

Bagi Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT), Maritim Malaysia telah melaksanakan sebanyak 237 operasi melibatkan pelbagai insiden di laut pada tahun yang sama. Daripada jumlah berkenaan, seramai 1,369 mangsa telah berjaya diselamatkan oleh agensi ini.

Bersempena HUT19, tema “Maritim Perkasa Melestarikan Madani” telah diangkat bagi mencerminkan tekad, komitmen dan keseriusan Agensi ini dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan Negara seiring Enam Nilai Teras yang terkandung di dalam Malaysia MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

Kemeriahan sambutan pada tahun ini telah diserikan dengan Majlis Tilawah Al-Quran dan Pertandingan Nasyid, Program Bacaan Yassin dan Doa Selamat serta Penyampaian Anugerah Khas Maritim Malaysia (AKMM) dan penyampaian Reben Penghargaan Khas Ketua Pengarah (RKP) kepada tiga warganya yang telah terpilih.

 

PERBARISAN HUT   PERBARISAN HUT 3   PERBARISAN HUT 5

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON