DUA VESEL DITAHAN DISYAKI LAKUKAN AKTIVITI KAPAL KE KAPAL TANPA KEBENARAN
PROGRAM IHYA' RAMADHAN DAN TADARUS AL-QURAN IBU PEJABAT MARITIM NEGERI KEDAH DAN PERLIS
LANGKAWI, 9 Mei–Unit Sumber Manusia, Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis (IPMNKP) telah menganjurkan aktiviti Ihya' Ramadhan sempena dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak pada 29April yang lalu.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Yassin yang dipimpin oleh Al- Fadzil Ustaz Ahmad Mawardi Bin Mohd Jait, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan IPMNKP. Seterusnya, diikuti dengan tahlil dan tazkirah ringkas.
Majlis jamuan makan secara ‘potluck’ juga turut diadakan dimana setiap seksyen membawa makanan untuk dikongsi bersama.
Selain Majlis Ihya’ Ramadhan, Unit Sumber Manusia IPMNKP juga mengadakan Program Kerohanian dan Tadarus Al-Quran sepanjang bulan Ramadhan ini. Program Tadarus Al-Quran sudah bermula sejak 7 Mei yang lalu dan akan diteruskan sehingga selesai khatam Al-Quran.
Peserta telah dibahagikan kumpulan mengikut juzuk dan setiap kumpulan perlu menyelesaikan jumlah juzuk atau surah yang telah ditetapkan.
MARITIM MALAYSIA - MET MALAYSIA PERKUKUH SINERGI DEMI KESELAMATAN PERAIRAN MALAYSIA
PUTRAJAYA, 7 September — Keselamatan di laut memerlukan lebih daripada kekuatan aset dan kesiapsiagaan anggota. Ketepatan maklumat cuaca dan keadaan laut turut menjadi elemen penting dalam menentukan keberkesanan sesuatu operasi maritim.
Atas kepentingan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima kunjungan hormat Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, hari ini.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, menyambut delegasi METMalaysia yang diketuai Ketua Pengarahnya, Dr. Mohd Hisham bin Mohd Anip.
Turut mengiringi beliau dalam pertemuan tersebut ialah Pengarah Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana (BCLBB), Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh; Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim (BKPM), Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi bin Che Engku Daik; serta Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM), Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie bin Yaacob.
Menurut Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli, Pertemuan berkenaan menjadi platform kedua-dua agensi bertukar pandangan serta meneroka ruang kerjasama strategik, khususnya dalam perkongsian data dan maklumat meteorologi bagi menyokong operasi penguatkuasaan, keselamatan maritim serta mencari dan menyelamat (SAR) di perairan negara.
"Maklumat ramalan dan amaran cuaca yang tepat serta pantas amat penting bagi membantu Maritim Malaysia merancang operasi, menilai risiko dan meningkatkan kesiapsiagaan, khususnya dalam melaksanakan operasi CARILAMAT ketika berdepan perubahan serta keadaan cuaca yang tidak menentu," katanya.
Tambahnya lagi, sinergi Maritim Malaysia dan METMalaysia ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua agensi dalam memperkukuh keupayaan negara, sekali gus memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kepentingan sektor maritim Malaysia sentiasa dilindungi.