KOTA TINGGI, 4 SEPTEMBER — Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) yang dikoordinasikan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi mengesan dua mangsa yang masih hilang dalam kejadian di Pantai Tanjung Lompat, Desaru, diteruskan memasuki hari ketiga hari ini.
Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib bin Sam berkata, operasi yang diselaraskan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC)
Johor Bahru itu dimulakan semula pada jam 7.00 pagi dengan keluasan sektor pencarian diperluaskan kepada kira-kira 103 batu nautika persegi berdasarkan perkembangan dan penilaian semasa operasi.
“Operasi pencarian hari ini melibatkan kekuatan seramai 61 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi, termasuk Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Operasi turut mendapat bantuan komuniti setempat melalui empat bot Persatuan Rekreasi Tanjung Lompat yang bersama-sama membantu usaha pencarian di kawasan yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, aset yang digerakkan dalam operasi hari ini terdiri daripada dua aset Maritim Malaysia, iaitu bot PETIR 50 dan bot PERKASA 29, bot KCB 24 JBPM, bot PAC 253 PDRM, bot ronda PPM PAR 6, sebuah bot aluminium APM serta empat bot Persatuan Rekreasi Tanjung Lompat.
“Pada kira-kira jam 11.15 pagi, satu lagi mangsa telah ditemukan dalam sektor pencarian oleh sebuah bot Persatuan Rekreasi Tanjung Lompat, kira-kira 0.5 batu nautika ke arah tenggara perairan Tanjung Siang.
“Mangsa kemudiannya berjaya dinaikkan oleh bot PETIR 50 sebelum dipindahkan ke bot Kevlar KCB 24 untuk dibawa ke pantai.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia dan dikenal pasti sebagai Muhammad Adib Hafiy bin Kamal selepas proses pengecaman oleh waris. Jasad mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurut beliau, operasi pencarian akan terus diperluaskan dan diselaraskan berdasarkan perkembangan semasa, keadaan cuaca, laut dan arus serta maklumat yang diterima daripada pasukan di lapangan.
Keadaan cuaca di kawasan operasi dilaporkan dengan angin dari arah selatan barat daya (SBD) pada kelajuan sekitar 20 hingga 30 kilometer sejam dan ketinggian ombak antara 1.0 hingga 1.5 meter.
Maritim Malaysia bersama agensi-agensi terlibat akan terus menggembleng segala aset dan kekuatan yang bersesuaian bagi meneruskan usaha mencari dan menyelamat seorang mangsa terakhir yang masih hilang.
Maritim Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi keselamatan dan penyelamat serta komuniti setempat, khususnya Persatuan Rekreasi Tanjung Lompat, yang terus memberikan kerjasama dalam membantu operasi CARILAMAT ini.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kedudukan atau petunjuk yang boleh membantu usaha pencarian diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa bagi membantu melancarkan operasi.
MANGSA TERAKHIR OPERASI CARILAMAT TANJUNG LOMPAT DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA, OPERASI DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA RAMPAS LEBIH 600 KATRIJ VAPE DISYAKI DADAH 'PIU PIU' DI SENGGARANG
SEORANG LAGI MANGSA DITEMUKAN, OPERASI CARILAMAT MASUK HARI KETIGA
SEORANG LAGI MANGSA DITEMUI MENINGGAL DUNIA, DUA MASIH HILANG DI TANJUNG LOMPAT
BOT PENUMPANG BAWA LEBIH MUATAN DITAHAN MARITIM MALAYSIA
DUA VESEL DITAHAN DISYAKI LAKUKAN AKTIVITI KAPAL KE KAPAL TANPA KEBENARAN
EMPAT REMAJA MASIH HILANG, OPERASI CARILAMAT DIAKTIFKAN DI PANTAI TANJUNG LOMPAT
MARITIM MALAYSIA BANTU PINDAHKAN PESAKIT SERANGAN JANTUNG DARI LANGKAWI
SEJARAH TERCIPTA, 127 KADET DITAULIAHKAN SEBAGAI LEFTENAN MUDA PASKAM
PEKAN, 5 SEPTEMBER – Seramai 127 Pegawai Kadet Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) hari ini ditauliahkan sebagai Leftenan Muda PASKAM selepas berjaya menamatkan latihan selama empat semester yang meliputi pembentukan disiplin, kepimpinan, ketahanan fizikal dan mental serta semangat kerja berpasukan.
Pentauliahan ini mencipta sejarah apabila buat julung kalinya dilaksanakan secara bersama melibatkan tiga Universiti Awam, iaitu Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Majlis Tamat Latihan dan Pemakaian Pangkat Leftenan Muda PASKAM Peringkat Universiti Awam Kali Pertama Tahun 2026 telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah, di Dewan Konvokesyen UMPSA Pekan, hari ini.
Daripada jumlah tersebut, 49 kadet daripada UMPSA, 30 kadet daripada UMT dan 48 kadet daripada UniMAP telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda PASKAM.
Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi berkata, pentauliahan itu bukan sekadar menandakan kejayaan menamatkan latihan, malah menjadi manifestasi kejayaan melahirkan generasi muda yang berdisiplin, berintegriti, berjiwa patriotik serta mempunyai kepimpinan dan jati diri yang tinggi.
"PASKAM bukan sekadar platform latihan berkawad atau aktiviti kokurikulum, sebaliknya medium membentuk mahasiswa yang memahami erti tanggungjawab, kepimpinan, kesetiaan, keberanian serta kesediaan berkhidmat demi agama, bangsa dan negara," katanya.
Beliau berkata, PASKAM turut berperanan memperkenalkan mahasiswa kepada dunia maritim melalui pendedahan terhadap aspek keselamatan, penguatkuasaan, kepimpinan dan tanggungjawab mempertahankan kepentingan serta kedaulatan negara di laut.
Sehingga kini, seramai 240 kadet aktif PASKAM berada di tiga universiti berkenaan, melibatkan 94 kadet di UMPSA, 65 kadet di UMT dan 81 kadet di UniMAP.
Menurut beliau, kerjasama strategik antara Maritim Malaysia dan institusi pengajian tinggi menerusi PASKAM bukan sahaja memperkukuh pembangunan modal insan, malah menjadi platform melahirkan bakal pemimpin muda yang memiliki sahsiah unggul, ketahanan diri, semangat patriotisme dan kesedaran tinggi terhadap keselamatan maritim negara.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed berkata, penganjuran majlis secara bersama melibatkan tiga universiti awam merupakan satu detik bersejarah dalam perkembangan PASKAM di institusi pengajian tinggi negara.
Menurut beliau, sejak penubuhannya pada 21 September 2016, PASKAM telah berkembang daripada sebuah platform latihan beruniform kepada medium pembangunan kepimpinan mahasiswa yang menekankan disiplin, integriti, semangat berpasukan dan kesiapsiagaan.
"PASKAM bukan sekadar membentuk mahasiswa yang berdisiplin, malah melahirkan individu yang mampu membuat keputusan secara matang, memimpin dengan berintegriti serta sentiasa bersedia memikul tanggungjawab apabila diperlukan," katanya.
Beliau turut menyifatkan kerjasama antara UMPSA dan Maritim Malaysia sebagai satu ekosistem strategik yang menyokong pembangunan modal insan dan ilmu, termasuk menerusi penerbitan buku OP NAGA BARAT: Analisis Strategi, Ekonomi dan Pendakwaan dari Perspektif Maritim Malaysia, yang memperkukuh pemahaman berkaitan keselamatan maritim daripada perspektif strategik, ekonomi, perundangan dan penguatkuasaan.
Pentauliahan 127 Leftenan Muda PASKAM ini diharap dapat melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berdisiplin, berintegriti, berwibawa serta memiliki semangat patriotisme yang tinggi dalam mendukung usaha memperkukuh keselamatan dan kedaulatan maritim negara.













.svg.png)

