KOTA TINGGI, 2 SEPTEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Ibu Pejabat Maritim Zon Tanjung Sedili telah menahan dua buah vesel yang disyaki menjalankan aktiviti kapal ke kapal tanpa kebenaran di perairan negara, awal pagi semalam.
Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib bin Sam berkata, penahanan dilakukan pada pukul 3.20 pagi oleh bot ronda Maritim Malaysia selepas pihaknya menerima maklumat awam berhubung dua buah vesel mencurigakan yang dilihat berhimpit pada kedudukan kira-kira 1.4 batu nautika barat laut Tanjung Buai.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua vesel berkenaan terdiri daripada sebuah bot tunda dan kapal korek yang masing-masing berdaftar di Malaysia.
“Bot tunda tersebut dikendalikan oleh lima orang kru termasuk nakhoda yang terdiri daripada warga tempatan dan Indonesia berusia antara 26 hingga 58 tahun, manakala kapal korek pula dikendalikan oleh 13 orang kru termasuk nakhoda, kesemuanya warga tempatan berusia antara 22 hingga 51 tahun,” katanya.
Pemeriksaan lanjut turut menemukan sejumlah muatan minyak yang dipercayai tidak mempunyai dokumen berkaitan pemilikan dan penghantaran. Kedua-dua vesel berserta muatan minyak berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana disyaki melakukan aktiviti kapal ke kapal tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) OPS 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran serta Akta Kastam 1967 berhubung penemuan muatan minyak yang disyaki tidak mempunyai dokumen berkaitan.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM260 juta, merangkumi kedua-dua vesel serta muatan minyak yang dibawa.
“Maklumat daripada orang awam amat membantu Maritim Malaysia dalam mengesan sebarang aktiviti mencurigakan dan salah laku di perairan negara. Hasil tindakan pantas, kedua-dua vesel berjaya ditahan untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya.
Maritim Malaysia sentiasa komited dalam mempertingkatkan pengawasan dan penguatkuasaan di perairan negara. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti jenayah atau salah laku di laut diminta menyalurkannya kepada Maritim Malaysia menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Tanjung Sedili di talian 07-8916595 untuk tindakan segera.
MANGSA TERAKHIR OPERASI CARILAMAT TANJUNG LOMPAT DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA, OPERASI DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA RAMPAS LEBIH 600 KATRIJ VAPE DISYAKI DADAH 'PIU PIU' DI SENGGARANG
SEORANG LAGI MANGSA DITEMUKAN, OPERASI CARILAMAT MASUK HARI KETIGA
SEORANG LAGI MANGSA DITEMUI MENINGGAL DUNIA, DUA MASIH HILANG DI TANJUNG LOMPAT
BOT PENUMPANG BAWA LEBIH MUATAN DITAHAN MARITIM MALAYSIA
DUA VESEL DITAHAN DISYAKI LAKUKAN AKTIVITI KAPAL KE KAPAL TANPA KEBENARAN
EMPAT REMAJA MASIH HILANG, OPERASI CARILAMAT DIAKTIFKAN DI PANTAI TANJUNG LOMPAT
MARITIM MALAYSIA BANTU PINDAHKAN PESAKIT SERANGAN JANTUNG DARI LANGKAWI
SEJARAH TERCIPTA, 127 KADET DITAULIAHKAN SEBAGAI LEFTENAN MUDA PASKAM
PEKAN, 5 SEPTEMBER – Seramai 127 Pegawai Kadet Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) hari ini ditauliahkan sebagai Leftenan Muda PASKAM selepas berjaya menamatkan latihan selama empat semester yang meliputi pembentukan disiplin, kepimpinan, ketahanan fizikal dan mental serta semangat kerja berpasukan.
Pentauliahan ini mencipta sejarah apabila buat julung kalinya dilaksanakan secara bersama melibatkan tiga Universiti Awam, iaitu Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Majlis Tamat Latihan dan Pemakaian Pangkat Leftenan Muda PASKAM Peringkat Universiti Awam Kali Pertama Tahun 2026 telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah, di Dewan Konvokesyen UMPSA Pekan, hari ini.
Daripada jumlah tersebut, 49 kadet daripada UMPSA, 30 kadet daripada UMT dan 48 kadet daripada UniMAP telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda PASKAM.
Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi berkata, pentauliahan itu bukan sekadar menandakan kejayaan menamatkan latihan, malah menjadi manifestasi kejayaan melahirkan generasi muda yang berdisiplin, berintegriti, berjiwa patriotik serta mempunyai kepimpinan dan jati diri yang tinggi.
"PASKAM bukan sekadar platform latihan berkawad atau aktiviti kokurikulum, sebaliknya medium membentuk mahasiswa yang memahami erti tanggungjawab, kepimpinan, kesetiaan, keberanian serta kesediaan berkhidmat demi agama, bangsa dan negara," katanya.
Beliau berkata, PASKAM turut berperanan memperkenalkan mahasiswa kepada dunia maritim melalui pendedahan terhadap aspek keselamatan, penguatkuasaan, kepimpinan dan tanggungjawab mempertahankan kepentingan serta kedaulatan negara di laut.
Sehingga kini, seramai 240 kadet aktif PASKAM berada di tiga universiti berkenaan, melibatkan 94 kadet di UMPSA, 65 kadet di UMT dan 81 kadet di UniMAP.
Menurut beliau, kerjasama strategik antara Maritim Malaysia dan institusi pengajian tinggi menerusi PASKAM bukan sahaja memperkukuh pembangunan modal insan, malah menjadi platform melahirkan bakal pemimpin muda yang memiliki sahsiah unggul, ketahanan diri, semangat patriotisme dan kesedaran tinggi terhadap keselamatan maritim negara.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed berkata, penganjuran majlis secara bersama melibatkan tiga universiti awam merupakan satu detik bersejarah dalam perkembangan PASKAM di institusi pengajian tinggi negara.
Menurut beliau, sejak penubuhannya pada 21 September 2016, PASKAM telah berkembang daripada sebuah platform latihan beruniform kepada medium pembangunan kepimpinan mahasiswa yang menekankan disiplin, integriti, semangat berpasukan dan kesiapsiagaan.
"PASKAM bukan sekadar membentuk mahasiswa yang berdisiplin, malah melahirkan individu yang mampu membuat keputusan secara matang, memimpin dengan berintegriti serta sentiasa bersedia memikul tanggungjawab apabila diperlukan," katanya.
Beliau turut menyifatkan kerjasama antara UMPSA dan Maritim Malaysia sebagai satu ekosistem strategik yang menyokong pembangunan modal insan dan ilmu, termasuk menerusi penerbitan buku OP NAGA BARAT: Analisis Strategi, Ekonomi dan Pendakwaan dari Perspektif Maritim Malaysia, yang memperkukuh pemahaman berkaitan keselamatan maritim daripada perspektif strategik, ekonomi, perundangan dan penguatkuasaan.
Pentauliahan 127 Leftenan Muda PASKAM ini diharap dapat melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berdisiplin, berintegriti, berwibawa serta memiliki semangat patriotisme yang tinggi dalam mendukung usaha memperkukuh keselamatan dan kedaulatan maritim negara.













.svg.png)

