KUALA TERENGGANU7, 22 OKTOBER – Kapal Peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), KM SEBATIK hari ini bakal kembali menggalas tanggungjawab dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan perairan negara selepas hampir dua tahun menjalani proses repowering jentera utama dan refit di Limbungan OBM Technic Sdn Bhd, Kuala Terengganu.
Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim berkata program repowering dan refit merupakan inisiatif yang diambil oleh Maritim Malaysia bagi meningkatkan jangka hayat kapal yang membabitkan proses modenisasi bagi kapal-kapal yang telah berusia dengan penambahbaikan serta pertukaran sebahagian besar komponen kapal, antaranya jentera utama, janakuasa, sistem elektronik, akamodasi dan lain-lain.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan KM SEBATIK bagi Perolehan Repowering Jentera Utama Dan Refit yang berlangsung di Limbungan OBM Technic Sdn. Bhd, Kuala Terengganu, hari ini.
Kapal berukuran 29 meter panjang dengan lebar 6 meter dan seberat 150 tan ini telah dibina di Penang Ship building Corporation Sdn Bhd pada tahun 1982 bagi kegunaan Pasukan Polis Marin ketika itu dengan panggilan PX33.
Kapal berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Maritim Malaysia bagi meneruskan khidmat baktinya kepada negara bermula pada tahun 2011 dan telah dikelaskan sebagai kapal peronda kelas Gemia dengan menggunakan nombor pennant 2958.
Setelah hampir 40 tahun menabur bakti, KM SEBATIK dilihat perlu menjalani pembaikan demi memastikan kesiagaan aset berkenaan bagi sebarang kemungkinan khususnya melibatkan keselamatan perairan negara.
Program repowering jentera utama dan refit bagi KM SEBATIK telah berjalan selama 22 bulan bermula Disember 2022 lalu antaranya membabitkan penukaran sistem jentera utama yang baharu iaitu model CUMMINS QSK60 bagi mengantikan jentera utama yang lama untuk mencapai kelajuan yang lebih tinggi serta penggunaan bahan bakar yang lebih efisien, pemasangan sistem Mist Eliminator Louvre Engine Room terbaharu bagi membantu melancarkan sistem pengudaraan di dalam bilik jentera serta dilengkapkan dengan peralatan komunikasi dan navigasi yang lebih moden dan berteknologi tinggi seperti marine radar SIMRAD X Band bagi memastikan pemantauan keselamatan dan kesejahteraan maritim secara lebih meluas.
"Sistem persenjataan utama kapal iaitu meriam 20mm KAA Oerlikon turut dikekalkan dan disenggara agar berada pada tahap terbaik, latihan teori pengendalian dan praktikal telah diberikan kepada kru di samping latihan penembakan meriam membabitkan aset-aset dari kelas yang sama di Perairan Terengganu dalam masa terdekat untuk memastikan keupayaan serta kebolehfungsian meriam jenis ini," ujarnya lagi.
Terdahulu Datuk Saiful Lizan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kewangan (MOF) dan juga Kementerian Ekonomi atas sokongan yang telah diberikan kepada Maritim Malaysia selama ini.
KM SEBATIK merupakan salah satu daripada lima aset yang menjalani Program Repowering Jentera Utama dan Refit di mana pada hujung tahun 2022, Kerajaan telah memberikan suntikan peruntukan berjumlah RM17.4 juta bagi memastikan projek repowering jentera utama dan refit dapat dilaksanakan.
Turut hadir sama Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan Kementerian Ekonomi, Puan Nooraidah binti Abdullah; Pengarah Bahagian Kejuruteraan Maritim Malaysia, Laksama Pertama Maritim Hamizan bin Harun; Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab; Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar bin Abd Majid; Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah bin Soahdi serta pegawai-pegawai kanan Maritim Malaysia.
MARITIM MALAYSIA LAKSANA MEDEVAC KRU KAPAL PHEONIX JAMNAGAR
LAPAN MANGSA SELAMAT DALAM INSIDEN BOT LAJU TERBALIK DI PANTAI TELUK PASIR, SANTUBONG
MARITIM MALAYSIA LAKSANA MEDEVAC KRU KAPAL CX GEMMA DI PERAIRAN KUCHING
MARITIM MALAYSIA DAN AGENSI DAERAH MERSING LAKSANA OP BERSEPADU PANTAU AKTIVITI ISLAND HOPPING
10 PATI WARGA INDIA DAN BANGLADESH DITAHAN KETIKA CUBA MEMASUKI PERAIRAN NEGARA
ZON MARITIM KUALA KEDAH PERKASA PENGUATKUASAAN OP TIRIS 4.0 MELALUI OPS BERSEPADU DI PERAIRAN NEGERI KEDAH
MARITIM NEGERI PERAK PERKETAT PENGUATKUASAAN - DUA VESEL PUKAT TUNDA HARAM DITUMPASKAN
15 PATI DITAHAN; SENJATA API TURUT DIRAMPAS
"TIADA KOMPROMI TERHADAP ANCAMAN DI PERAIRAN NEGARA," - MDN TEGAS KOMITMEN KERAJAAN MADANI PERKUKUH MARITIM MALAYSIA
PUTRAJAYA, 11 JUN – Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman yang menggugat keselamatan, kedaulatan dan martabat negara, khususnya melibatkan jenayah rentas sempadan, penyeludupan serta pencerobohan perairan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selagi ancaman terhadap perairan negara wujud, selagi itulah Kerajaan akan memastikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memiliki kuasa, kapasiti dan sokongan yang diperlukan bagi melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan secara berkesan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tahun 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Menurut beliau, keluasan Zon Maritim Malaysia yang meliputi lebih 556,000 kilometer persegi merangkumi laluan strategik seperti Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi menjadikan keselamatan maritim sebagai antara keutamaan utama negara.
“Perairan negara bukan sekadar laluan air, malah merupakan nadi geopolitik, ekonomi dan keselamatan negara. Justeru, Maritim Malaysia memainkan peranan sebagai benteng hadapan negara dalam memastikan perairan Malaysia kekal selamat, teratur dan bebas daripada ancaman jenayah maritim,” katanya.
Saifuddin berkata, Kerajaan turut komited memperkukuh keupayaan operasi Maritim Malaysia menerusi pelaksanaan beberapa perolehan aset strategik bagi memastikan agensi itu sentiasa bersedia mendepani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.
Menurut beliau, Maritim Malaysia dijangka menerima Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) pertama pada pertengahan tahun 2027, manakala kontrak perolehan MPMS kedua yang dimeterai pada 21 April 2026 dijangka siap dalam tempoh 24 bulan bermula Februari 2026 hingga Januari 2028.
Selain itu, Maritim Malaysia juga bakal menerima empat buah helikopter Agusta Westland AW189 pada tahun ini dengan pesawat pertama dijangka tiba pada Julai 2026, sekali gus meningkatkan keupayaan operasi penguatkuasaan, rondaan maritim serta misi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di seluruh Zon Maritim Malaysia.
Dalam menghadapi cabaran Krisis Tenaga Global 2026, beliau menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyeludupan, penyelewengan dan ketirisan bekalan bersubsidi yang boleh menjejaskan kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat.
Melalui pelaksanaan Op TIRIS 4.0 Segmen Laut yang dilaksanakan secara bersepadu bersama PDRM-PPM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia yang bermula pada 16 Mac lalu, Maritim Malaysia telah berjaya merekodkan 30 kes dengan nilai rampasan melebihi RM5.74 juta sehingga 1 Jun 2026.
“Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memastikan diesel, petrol dan barangan bersubsidi tidak diseleweng ke luar negara atau disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Ia juga mencerminkan sokongan padu Maritim Malaysia terhadap aspirasi Kerajaan MADANI dalam memerangi ketirisan serta menjamin kemakmuran negara” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa perkembangan geopolitik global yang memberi kesan kepada laluan strategik antarabangsa seperti Selat Hormuz telah meningkatkan kepentingan Selat Melaka sebagai antara laluan perdagangan dan perkapalan paling penting di dunia.
Justeru, katanya, Maritim Malaysia memikul tanggungjawab yang amat besar untuk memastikan Selat Melaka dan perairan negara kekal selamat, teratur serta bebas daripada ancaman jenayah maritim demi menjamin kelancaran perdagangan antarabangsa serta kestabilan ekonomi negara dan serantau.
Sementara itu, majlis berkenaan turut menyaksikan seramai 254 warga Maritim Malaysia dari seluruh Semenanjung Malaysia menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 sebagai pengiktirafan terhadap prestasi, dedikasi dan komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan serta kedaulatan perairan negara.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, YBhg. Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah berkata, “pengiktirafan tersebut bukan sekadar penghargaan kepada pencapaian individu, malah mencerminkan budaya kerja berprestasi tinggi yang terus menjadi tunjang kecemerlangan organisasi”.
Pada tahun 2025, seramai 390 warga Maritim Malaysia di seluruh negara telah dipilih sebagai penerima APC berbanding 372 orang pada tahun sebelumnya. Majlis tersebut turut dihadiri pengurusan tertinggi KDN dan Maritim Malaysia serta warga Maritim Malaysia.

















.svg.png)

