|
![]() |
|
|
EMPAT PEGAWAI MARITIM MALAYSIA BERJAYA TAMATKAN PENGAJIAN DENGAN KEPUTUSAN CEMERLANG
PUTRAJAYA, 6 Disember - Empat Pegawai Penguat Kuasa Maritim Malaysia telah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Teknologi Maritim bersama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Istiadat Konvokesyen telah diadakan di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur pada 6 Disember 2022 lalu.
Empat graduan terbabit ialah Komander (M) Elmi Shafik bin Mad Sariff, Leftenan Komander (M) Mohd Hazwan bin Hamzah, Leftenan (M) Mohd Farid bin Zaini dan Leftenan Madya (M) Muhammad Syahmi bin Mohd Rohani.
Tiga daripada pegawai tersebut merupakan graduan di bawah tajaan Program Kolaborasi Industri (ICP) bagi kontrak perolehan membekal, menghantar, menguji dan mentauliah tiga buah Kapal Peronda Luar Persisir (OPV) untuk Maritim Malaysia. Pihak Technology Depository Agency (TDA) merupakan pelaksana bagi program ICP ini yang dilihat dapat memberi manfaat kepada Maritim Malaysia serta dapat memberi impak kepada pembangunan modal insan Maritim Malaysia dan ICP.
Paling membanggakan apabila keempat-empat pegawai tersebut berjaya menamatkan pengajian dan mencapai keputusan CGPA di tahap cemerlang iaitu 3.75 ke atas. Kejayaan ini merupakan satu perkara yang bertepatan dengan hasrat pengurusan tertinggi Maritim Malaysia agar warganya sentiasa berdaya saing dan terus maju ke hadapan.
Tahniah diucapkan kepada keempat-empat graduan tersebut.
![]() |
||
PEMBANGUNAN TEKNOLOGI MAKLUMAT PENTING; TINGKATKAN KEUPAYAAN MARITIM MALAYSIA MENDEPANI CABARAN GLOBAL
PUTRAJAYA, 7 Oktober - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) buat pertama kalinya menganjurkan Seminar Pendigitalan Maritim Malaysia 2022 kepada seluruh warga seiring dalam menyahut agenda pemerkasaan teknologi maklumat sektor awam di peringkat nasional.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Dato' Mohd Zubil bin Mat Som yang merasmikan seminar ini berkata dalam ucapannya, pendedahan ilmu berkaitan teknologi maklumat seperti ini pertama kali diadakan. Pendigitalan ini dilihat sebagai salah satu usaha bagi Agensi untuk melaksanakan transformasi digital supaya Agensi ini kekal relevan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dengan memanfaatkan teknologi baharu dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) termasuklah Internet of Things (IOT), data raya dan Artificial Intelligence (AI).
Sebelum ini Maritim Malaysia telah membangun dan menggunakan sistem aplikasi dalam melaksanakan operasi harian sebagai sebuah agensi penguat kuasa antaranya, Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) bagi mengawal perairan negara dengan lebih berkesan. Terbaharu Maritim Malaysia juga sedang giat membangunkan Pusat Perintah, Kawalan, Komunikasi, Komputer, Perisikan, Pengawasan dan Peninjauan (C4ISR) sebagai melengkapi keperluan operasi.
Selain itu terdapat juga sistem pengesan kecemasan digunakan seperti COSPAS-SARSAT, GMDSS dan MERS 999 yang membantu usaha mencari dan menyelamat dengan lebih efisien. Sistem-sistem lain seperti DBOPS, DBSAR, MyMDI dan Sistem Pengurusan Maritim membantu dalam perekodan data-data penting Agensi.
Bersempena Seminar Pendigitalan ini, Maritim Malaysia telah melancarkan Polisi Keselamatan Siber Maritim Malaysia. Dokumen ini dibangunkan selaras dengan keperluan ISO/IEC 27001:2013 Information Security Management System (ISMS) yang merupakan amalan terbaik mengikuti standard antarabangsa dalam menetapkan keperluan sistem pengurusan keselamatan maklumat mengikut konteks organisasi.
Selain itu, Maritim Malaysia juga turut melancarkan Pelan Strategik Pendigitalan Maritim Malaysia 2021-2025, dimana dokumen ini dibangunkan sejajar dengan halatuju Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040 dan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025.
Dengan adanya pelan strategik ini ia diharap dapat merancang untuk tempoh lima tahun akan datang mampu diterjemahkan dan terus melakar kecemerlangan Maritim Malaysia sebagai salah satu agensi coast guard yang terbaik di dunia.
Dua naskah tersebut dilancarkan oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia dengan diiringi Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Maritim Malaysia, Eteze binti Lawe dengan disaksikan oleh seluruh warga Maritim Malaysia secara bersemuka dan telesidang.
Selain daripada seminar yang diadakan, Bahagian Teknologi Maklumat Maritim Malaysia juga turut mengundang beberapa penyedia teknologi bagi mempamerkan teknologi dan sistem terkini yang berpotensi dikaji kemampuannya dalam membantu memperkasakan Maritim Malaysia dalam mendepani cabaran global.
LAKSAMANA (M) DATO' MOHD ZUBIL BIN MAT SOM KETUA PENGARAH
AGENSI PENGUATKUASAAN MARITIM MALAYSIA
![]() |
|
|
![]() |
![]() |
|
![]() |
![]() |
|
AKIBAT BERSAUH TANPA KEBENARAN, SEBUAH KAPAL KREN DITAHAN
PELABUHAN KLANG, 7 Disember – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah kapal kren bersauh tanpa kebenaran di perairan Pulau Indah sekitar jam 1.30 petang, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, penahanan itu dibuat dalam rutin rondaan OP EHSAN dan OP BENTENG LAUT 1/2022 pada kedudukan 0.3 batu nautika Timur Pulau Indah.
Pihak Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) memaklumkan, kapal kren yang tertera nama AWANA SALVAGE itu tidak mempunyai kebenaran bersauh dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
Ketika pemeriksaan awal ke atas kapal, kapten tidak berada di atas kapal, pasukan operasi hanya menemukan enam kru, iaitu tiga warga tempatan, dua warga Indonesia dan seorang warga Filipina berumur lingkungan 34 tahun hingga 49 tahun.
Hasil pemeriksaan dokumen mendapati, kesemua kru warga asing gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada penguat kuasa termasuk dokumen kebenaran bersauh.
Mereka disyaki melanggar peraturan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana tidak melaporkan ketibaan dan bersauh tanpa kebenaran.
Perintah penahanan ke atas kapal tersebut dikeluarkan dan seorang penyelia serta seorang kru dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia memandang serius terhadap sebarang pelanggaran undang-undang di laut dan tindakan tegas akan diambil.
Pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia sebelum melabuhkan sauh dan mematuhi peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia.
Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk tindakan segera.
|
|
|
LIMA KRU AW139 TERLIBAT OPERASI MENYELAMAT LIMA PEMANCING TERIMA PENGHARGAAN KHAS KETUA PENGARAH
PUTRAJAYA, 29 Ogos – Lima kru pesawat AW139 Maritim Malaysia hari ini menerima sijil penghargaan daripada Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Dato’ Mohd Zubil bin Mat Som atas kejayaan operasi menyelamat lima pemancing terkandas di Pulau Batu Berantai, Selangor pada 18 Ogos lalu.
Kejayaan operasi menyelamat yang dilaksanakan oleh kru AW139 tempoh hari, jelas menunjukkan sikap dedikasi yang tinggi, kecekapan, readiness serta keberanian pegawai dan anggota apmm dalam melaksanakan tugas dalam apa jua situasi walaupun terpaksa mempertaruhkan nyawa.
Pegawai dan anggota Maritim Malaysia mampu melaksanakan tugasan dengan cemerlang biarpun dalam situasi sukar dan tidak dijangka. Perkara ini mungkin tidak dapat dilaksanakan dengan baik sekiranya pegawai dan anggota tersebut tidak terlatih serta tanpa latihan yang berterusan.
Ketua Pengarah juga memaklumkan agar video operasi menyelamat lima pemancing terkandas di Pulau Batu Berantai itu dicalonkan untuk International Maritime Rescue Federation Awards 2022 bagi kategori Team – Outstanding Team Contribution to Maritime Search and Rescue (SAR) Operations.
|
|
||||
![]() |
![]() |
||||
![]() |
![]() |
||||


















