10
Wed, Jun

WARGA ASING BEKERJA DI ATAS BOT NELAYAN TANPA DOKUMEN DITAHAN MARITIM SELANGOR

PELABUHAN KLANG, 25 Januari  – Sebuah bot nelayan tempatan Kelas B1 telah ditahan oleh Maritim Negeri Selangor atas pelbagai kesalahan pada pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, tangkapan itu dilakukan pada sekitar jam 8.15 pagi oleh KM DANGA ketika dalam rutin rondaan operadi di perairan Selangor pada kedudukan 6.4 batu nautika dari daratan Sekinchan.

Ketika rondaan, KM DANGA telah mengesan bot berkenaan sedang melakukan aktiviti perikanan di bawah lapan batu nautika dari pantai, setelah dirapati untuk pemeriksaan. Pasukan menggeledah mendapati bot itu dikendalikan oleh tekong dan tiga kru warga Myanmar dalam lingkungan umur 34 hingga 59 tahun.

Hasil pemeriksaan dokumen mendapati, kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan permit kerja atau surat kebenaran dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk berkerja di atas bot berkenaan.

Kesemua mereka ditahan bersama hasil tangkapan ikan campur yang dianggarkan seberat 200 kilogram sebelum diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dan pemilik tidak mengusahakan sendiri bot dengan menggajikan warga asing tanpa kebenaran.

Kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 kerana kesemua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan serta aktiviti jenayah di laut orang ramai boleh menyalurkannya ke talian MERS 999 atau pusat operasi Maritim Malaysia untuk tindakan segera.

KLANG WARGA ASING 2

 

 

MAJLIS SERAHAN SURAT PEROLEHAN 4 HELIKOPTER MARITIM MALAYSIA

PUTRAJAYA, 23 Januari – Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima bagi Perolehan Empat Buah Helikopter Medium Lift Maritim Malaysia telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Haji Ruji bin Haji Ubi di Bilik Mesyuarat Pertiwi, Setia Perkasa 1, KDN di sini, pada Selasa (23 Januari 2024).

Perolehan ini telah dilaksanakan oleh Bahagian Perolehan KDN pada tahun 2022.

Kontrak ini telah dianugerahkan kepada Syarikat Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd yang berjaya melaksanakan perolehan empat buah helikopter jenis AW 189 dikelengkapkan dengan peralatan misi untuk menyokong operasi Maritim Malaysia.

Majlis turut dihadiri Setiausaha Bahagian Perolehan KDN, Tuan Haji Khairuddin bin Bakar, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid bin Haji Mohd Amin dan wakil syarikat.

 

(Sumber : Unit Komunikasi Kementerian Dalam Negeri)

 

HELIKOPTER APMM 10   HELIKOPTER APMM 8   HELIKOPTER APMM 4   HELIKOPTER APMM 3

 

MANGSA TERJUN LAUT DARI JAMBATAN PULAU PINANG DITEMUKAN SELAMAT

PULAU PINANG, 23 Januari – Seorang lelaki berbangsa India berumur 24 tahun merupakan mangsa terjun jambatan pertama Pulau Pinang telah ditemui selamat awal pagi tadi.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim Nak Rong a/l Si Prom berkata, pada awalnya Maritim Negeri Pulau Pinang telah menerima aduan daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban berhubung kejadian seorang lelaki terjun laut dari Jambatan Pertama Pulau Pinang di Kilometer 2.2 arah Perai menghala ke Pulau sekitar jam 11.00 pagi tadi.

Susulan laporan itu, bot peronda diatur gerak ke lokasi kejadian serta merta bagi menyelamatkan mangsa di posisi berkenaan.

Sejurus bot bergegas ke lokasi, makluman diterima bahawa mangsa tersebut sempat ditemui dan dibantu oleh komuniti nelayan yang berada berhampiran dengan lokasi kejadian.

Mangsa terbabit dikawal sementara oleh nelayan di kawasan selamat iaitu di tiang bernombor 76 Jambatan Pertama Pulau Pinang.

Rentetan itu, bot peronda tiba di lokasi berkenaan dan pemerhatian awal mendapati mangsa dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius.

Mangsa juga turut dikawal selia oleh anggota bomba di lokasi berkenaan bagi memantau keselamatan lelaki tersebut.

Jelas beliau, setiba bot peronda yang di bawah perintah OP TIRIS 3.0, mangsa dipindahkan ke atas bot penyelamat Maritim Malaysia bersama anggota bomba Perai untuk dibawa merapat ke jeti PPM Batu Uban.

Sekitar pukul 11.30 pagi bot penyelamat tiba jeti PPM dan dipindahkan ke ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM) Timur Laut bagi tujuan mendapatkan rawatan susulan di General Hospital Pulau Pinang.

Justeru, Maritim Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih terutamanya kepada komuniti nelayan dan pasukan sahabat dalam kerjasama menyelamatkan mangsa dari berlakunya kejadian yang lebih serius.

Jika terdapat sebarang insiden yang tidak diingini yang berlaku di laut dimohon agar disalurkan ke Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2620621.

MARITIM MALAYSIA TAHAN 2 BOT KARGO DENGAN HAMPIR 1,000 LITER BAHAN API TANPA PERMIT

TAWAU, 23 Januari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau berjaya menahan dua buah bot kargo yang membawa muatan pelbagai barangan runcit dan barang kawalan dalam dua kes berasingan di sekitar Perairan Tawau semalam.

Pengarah ZM Tawau, Kepten (M) Shahrizan Raman berkata, terdahulu bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Ops Sejahtera dan Ops Pluto Timur telah berjaya mengesan sebuah bot kargo yang bergerak dalam keadaan mencurigakan dari Perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik di kedudukan 0.6 batu nautika selatan Pelabuhan Tawau kira-kira pada pukul 5.50 petang.

Pemeriksaan lanjut ke atas bot terbabit mendapati seorang juragan lelaki warga Indonesia berusia 35 tahun membawa pelbagai barangan runcit dan menyembunyikan muatan bahan api jenis petrol sebanyak 12 gelen dianggarkan kira-kira 300 liter. Pemeriksaan dokumentasi juga mendapati juragan tidak mempunyai sebarang kebenaran bagi membawa barang kawalan tersebut.

Dalam kes berasingan, sebuah lagi bot kargo turut ditahan di kedudukan 0.7 batu nautika selatan Pelabuhan Tawau pada pukul 6.30 petang hari yang sama.

Pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan mendapati seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun bertindak selaku juragan membawa muatan pelbagai barangan runcit di dalam bot tersebut.

Pemeriksaan menyeluruh ke atas bot tersebut telah menemukan barang kawalan berjadual iaitu 5 gelen bahan api jenis petrol dan 19 gelen bahan api jenis diesel yang disembunyikan dibawah timbunan barang-barang runcit dengan anggaran sekitar 600 liter.

Pemeriksaan dokumentasi seterusnya mendapati juragan tersebut gagal mengemukakan permit serta lesen yang sah berkaitan barang kawalan yang dibawa.

Kedua-dua bot kargo bersama juragan dan kesemua muatan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk disiasat.

 

TAWAU MINYAK 2

BOT KEHABISAN MINYAK, LELAKI HILANG DI LAUT DITEMUKAN SELAMAT

LUMUT, 23 Januari – Maritim Negeri Perak berjaya menyelamatkan seorang nelayan warga tempatan yang berdepan detik cemas selepas bot yang dinaiki kehabisan minyak ketika dalam perjalanan pulang daripada menangkap ikan dari perairan Bagan Datuk pada jarak 5.0 batu nautika dari Muara Bagan Datuk, Perak Ahad lalu.

Kejadian berkenaan disedari berlaku apabila isteri mangsa telah menerima maklumat daripada suami beliau yang menyatakan bot yang digunakan telah kehabisan minyak di muara Bagan Datuk, Perak.

Sejurus Pusat Operasi Maritim Negeri Perak telah menerima aduan terbabit, bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi mengesan mangsa namun tidak ditemui.

Operasi CARILAMAT telah diaktifkan dengan pembahagian tiga sektor pencarian dengan keluasan keseluruhan 42.3 Batu Nautika Persegi melibatkan aset daripada Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan komuniti nelayan setempat.

Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di jeti nelayan Tanjung Kepah Sungai Tiram, Lekir Perak bagi mengkoordinasi Operasi Carilamat tersebut sejurus Operasi CARILAMAT diaktifkan.

Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah dimaklumkan penemuan bot mangsa oleh komuniti nelayan setempat dalam keadaan terapung dan telah hanyut pada jarak 11.6 batu nautika Barat Pulau Pangkor, Perak sekitar 5.10 petang, semalam.

Sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi penemuan bot mangsa bagi melakukan pengesahan dan menemukan mangsa yang dicari berada dalam keadaan baik dan selamat.

Mangsa, Muhammad Zufar bin Zulkefli, 31 telah ditemukan selamat dan bot telah diiring ke jeti Perikanan Kampung Acheh dan diserahkan kepada keluarga mangsa.

Maritim Malaysia mengingatkan kepada komuniti maritim untuk mematuhi peraturan serta menjaga keselamatan diri apabila turun ke laut khususnya ketika keadaan laut tidak menentu.

Komuniti maritim juga disarankan untuk memastikan segala keperluan peralatan keselamatan dalam keadaan baik ketika melakukan aktiviti menangkap ikan sebagai langkah awal menyelamatkan diri dari kecelakaan di laut sementara menanti pasukan menyelamat tiba.

Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2024 01 23 at 4.11.49 PM 1   WhatsApp Image 2024 01 23 at 4.11.49 PM   WhatsApp Image 2024 01 23 at 4.11.48 PM

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON