LUMUT, 18 MAC – Kapal Maritim (KM) GAGAH milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak berjaya menahan sebuah kapal kargo yang sedang bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 13 batu nautika barat laut Pulau Jarak sekitar pukul 3.30 petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, kapal tersebut dikendalikan oleh seorang nakhoda warga negara Mesir bersama seorang kru dari Rusia, dua orang kru dari Ukraine dan 17 kru dari Filipina.
Pemeriksaan lanjut mendapati kapal tersebut gagal mengemukakan surat kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan tidak melaporkan ketibaan mereka di perairan Malaysia.
Kes ini disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, yang memperuntukkan denda maksimum RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun, serta kesalahan gagal melaporkan ketibaan yang boleh dikenakan denda sehingga RM5 ribu. Dua kru kapal telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak untuk siasatan lanjut.
Dalam insiden berasingan, bot ronda Maritim Malaysia Negeri Perak juga telah menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang didapati melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti perikanan di kawasan larangan.
Selain itu, pemeriksaan lanjut juga mendapati dokumen pengenalan diri awak-awak vesel yang terdiri daripada tiga orang dari Myanmar termasuk tekong adalah diragui.
“Kes ini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63, dengan vesel, hasil tangkapan, dan peralatan menangkap ikan turut dirampas bagi siasatan lanjut Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia”, tambah Shukri.
Maritim Malaysia mengingatkan bahawa penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkukuh bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman di perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang pelanggaran undang-undang di laut diminta untuk melaporkan segera ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di 05-683 2254.
![]() |
![]() |
![]() |






























.svg.png)

