PULAU PINANG, 27 NOVEMBER – Delegasi Australian Border Force (ABF) telah menyertai rondaan Sea Rider OP REDBACK 21 bersama anggota Maritim Malaysia, bagi melihat sendiri pelaksanaan operasi Maritim Malaysia di perairan Pulau Pinang, hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi bin Mohd Romli berkata, rondaan menggunakan bot PENGGALANG 40 meliputi kawasan pesisir yang dikenal pasti sebagai zon berisiko tinggi bagi aktiviti penyeludupan dan pergerakan bot tanpa kebenaran.
Sepanjang rondaan, delegasi ABF telah diberi penerangan mengenai aliran trafik laut, laluan nelayan tradisional, dan cabaran geografi yang mempengaruhi keberkesanan operasi pengawasan.
Pasukan ABF dalam pada itu turut dibawa melihat aktiviti pemantauan visual, menilai tingkah laku kru bot, serta mengenal pasti aktiviti mencurigakan di kawasan pesisir.
“Rondaan turut meliputi pemeriksaan sangkar ikan berhampiran laluan bot kecil untuk memastikan tiada penyalahgunaan fasiliti akuakultur bagi penyeludupan, penyimpanan barang terlarang atau transit individu tanpa dokumen,” jelas Suffi.
Jelas beliau lagi, pemeriksaan turut merangkumi semakan struktur sangkar, aktiviti penternakan, pergerakan bot sokongan, dan rekod pemilik.
Delegasi ABF turut diberi taklimat mengenai kaedah risikan yang digunakan Maritim Malaysia dalam memantau aktiviti di sekitar sangkar dan jeti kecil.
Komponen Sea Rider dalam OP REDBACK ini telah membuka ruang pertukaran pandangan taktikal antara kedua-dua pihak termasuk pembangunan indikator risiko, profil tingkah laku di laut, serta strategi meningkatkan rondaan mengikut perubahan pola ancaman.
Langkah ini diharap dapat mengekang penyeludupan dan meningkatkan keselamatan pesisir, sejajar dengan matlamat operasi ini bagi mengekang ancaman jenayah rentas sempadan khususnya melibatkan aktiviti pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran.
DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN
MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN
MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL
BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN
REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000
LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN
MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026
LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.
Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.
Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.
Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.
Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.

















.svg.png)

