PUTRAJAYA, 5 Februari – Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Hamid bin Haji Mohd Amin telah menghadiri perhimpunan bulan Februari Maritim Malayisa pagi tadi.
Fokus perhimpunan pada kali ini adalah mengenai pencapaian operasi yang telah dilakukan oleh Maritim Malaysia menerusi Maritim Negeri dan Zon Maritim di seluruh negara.
Laksamana Maritim Datuk Hamid turut menekankan mengenai persiapan akhir sambutan Hari Ulang Tahun ke-19 Maritim Malaysia yang akan disambut pada 15 Februari di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) Kuantan, selain menguar-uarkan penganjuran Karnival Maritim Perkasa (KMP) di Kuala Terengganu pada 29 Februari hingga 2 Mac 2024 serta Majlis Peluncuran Kapal OPV 1 pada 2 Mac 2024.
“Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Haji Ruji bin Haji Ubi sangat berpuas hati dengan kejayaan projek OPV 1 dan beliau turut berpeluang dalam pelayaran kapal OPV 1 ke Sarawak dengan merasai sendiri pengalaman menaiki helikopter Maritim Malaysia dan mendarat di atas aset terbaharu Maritim Malaysia itu dengan lancar,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan bagi bulan Februari di Auditorium, Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya pada Isnin.
Sebelum mengakhiri ucapan, Laksamana Maritim Datuk Hamid menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan projek OPV 1 dan pelayaran sulungnya ke Sarawak tempoh hari.
Turut hadir dalam perhimpunan bulanan itu ialah Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Encik Mohd Norzam bin Mustapa, ketua-ketua pengarah bahagian Ibu Pejabat Maritim Malaysia, pegawai kanan dan anggota lain-lain pangkat serta pegawai gunasama baik secara fizikal mahupun dalam talian.