KOTA KINABALU, 30 Jun – Maritim Negeri Sabah telah menyertai ‘Small Craft Targeting and Intelligence Workshop’ anjuran Australia Border Force (ABF) pada 26 hingga 28 Jun 2023 bertempat di Le Meridian Hotel Kota Kinabalu, Sabah.
Bengkel ini telah disertai oleh 12 orang pegawai maritim terdiri dari wakil setiap Zon Maritim Negeri iaitu enam wakil dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Cawangan Sabah, empat wakil dari Jabatan Laut Negeri Sabah dan Sarawak, serta dua wakil Jabatan Kastam Diraja Brunei.
Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai persekitaran keselamatan maritim, penyasaran dan keupayaan risikan dalam agensi keselamatan di Malaysia bagi meningkatkan keberkesanan operasi maritim.
Sepanjang bengkel ini berlangsung, para peserta telah diberi pendedahan mengenai ancaman- ancaman keselamatan sivil maritim, kaedah menghadapi ancaman khusus dalam menangani kes yang melibatkan vesel kecil dan pendedahan mengenai isu penyeludupan orang dan pemerdagangan manusia serta kaedah untuk menanganinya.
Di akhir bengkel ini, para peserta menerima sijil penyertaan beserta cenderamata dan bergambar bersama sebagai kenang-kenangan.