SUNGAI PETANI, 18 Jun – Dianggarkan lebih 500 orang telah mengunjungi reruai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sempena Pameran KDN Madani yang diadakan di Sekolah Latihan Asas Kepolisan (SLAK), Sungai Petani, Kedah di sini hari ini.
Seiring objektif penganjuran iaitu memberi maklumat mengenai kesedaran keselamatan negara, Maritim Malaysia telah mempamerkan maklumat berkaitan tugas dan peranan agensi dalam menjaga keselamatan negara di samping mempamerkan replika aset yang digunakan ketika pelaksanaan operasi di laut.
Di samping itu turut menjadi tarikan pengunjung di reruai Maritim Malaysia ialah pengalaman mengikuti operasi sebenar yang dilaksanakan Maritim Malaysia dengan pendekatan Virtual Reality (VR).
Pengunjung dapat merasai sendiri pengalaman seolah-olah berada dalam keadaan sebenar anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR TEAM) dan Perenang Penyelamat (Rescue Swimmer) melaksanakan operasi di zon maritim negara.
Majlis perasmian program disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Turut hadir sama pada majlis berkenaan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, YBhg Dato' Haji Ruji bin Haji Ubi, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) selaku pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya (Maritim) Datuk Saiful Lizan Ibrahim bersama Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama (Maritim) Romli bin Mustafa, Pengarah Maritim Pulau Pinang Kepten (Maritim) Abd Razak bin Mohamed serta Ketua-Ketua jabatan dan agensi di bawah KDN.
Selain Maritim Malaysia, pameran ini turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Penjara, Bahagian Keselamatan dan Kawalan KDN, Jabatan Pendaftaran dan Pertubuhan (ROS) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).