08
Tue, Sep

MANGSA TERAKHIR OPERASI CARILAMAT TANJUNG LOMPAT DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA, OPERASI DITAMATKAN

KOTA TINGGI, 5 SEPTEMBER – Mangsa terakhir, Mohamad Haiman Fitri Supian yang dilaporkan hilang dalam kejadian lemas di Pantai Tanjung Lompat, Desaru, berjaya ditemukan pada jam 3.05 petang hari ini oleh orang awam, kira-kira 3.1 batu nautika dari lokasi kejadian.

Penemuan mangsa telah disahkan oleh waris, sekali gus menamatkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) yang dikoordinasikan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas memasuki hari keempat.

Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib bin Sam berkata, sektor pencarian pada hari ini telah diperluaskan sehingga 139 batu nautika persegi berdasarkan penilaian semasa dengan mengambil kira faktor arus, keadaan cuaca dan laut serta perkembangan pencarian.

“Sepanjang empat hari operasi, semua agensi yang terlibat telah memberikan komitmen tinggi dengan menggembleng anggota, aset dan kepakaran masing-masing bagi memastikan usaha pencarian dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa atas kejadian yang menimpa.

Maritim Malaysia turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) atas kerjasama dan sokongan yang diberikan sepanjang operasi.

Penghargaan turut ditujukan kepada komuniti maritim setempat, khususnya nelayan, pengusaha bot dan orang awam yang membantu pasukan operasi dengan menyalurkan maklumat serta melaksanakan pemantauan di kawasan perairan yang dikenal pasti.

“Penglibatan komuniti maritim setempat amat membantu usaha pencarian kerana mereka mempunyai pengetahuan mengenai keadaan perairan di kawasan berkenaan, sekali gus membolehkan maklumat berkaitan disalurkan dengan lebih cepat kepada pasukan CARILAMAT,” jelasnya.

Dengan penemuan mangsa terakhir, operasi CARILAMAT ditamatkan pada jam 5.00 petang dan Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) dibubarkan.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menasihatkan orang awam supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti rekreasi di kawasan pantai dan perairan, khususnya ketika keadaan laut bergelora, ombak tinggi, arus deras atau cuaca buruk.

Orang ramai juga diseru agar mendapatkan maklumat terkini berkaitan keadaan cuaca dan laut sebelum merancang sebarang aktiviti di kawasan pantai atau perairan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON