06
Sun, Sep

EMPAT REMAJA MASIH HILANG, OPERASI CARILAMAT DIAKTIFKAN DI PANTAI TANJUNG LOMPAT

KOTA TINGGI, 2 SEPTEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan empat remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Tanjung Lompat, Desaru, pagi tadi.

Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib bin Sam berkata, Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Tanjung Sedili menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada jam 7.35 pagi sebelum MRSC Johor Bahru mengaktifkan dan menyelaras Operasi CARILAMAT.

"Sejurus menerima maklumat, bot PETIR 12 telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi pencarian dan menyelamat. Setakat ini, dua mangsa berjaya diselamatkan, manakala empat lagi masih belum ditemui dan usaha pencarian sedang giat dijalankan," katanya.

Beliau berkata, sektor pencarian kini meliputi kawasan seluas kira-kira 1.0 batu nautika persegi dari lokasi kejadian dengan penglibatan pelbagai agensi keselamatan serta komuniti setempat.

Operasi CARILAMAT melibatkan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta komuniti nelayan setempat.

Bagi memperkukuh penyelarasan operasi, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut dibuka di lokasi kejadian sebagai pusat koordinasi semua aset dan agensi yang terlibat.

Maritim Malaysia akan terus menggerakkan semua aset dan kekuatan yang bersesuaian sehingga kesemua mangsa berjaya dikesan, di samping menilai perkembangan operasi berdasarkan keadaan cuaca dan laut dari semasa ke semasa.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti rekreasi di pantai atau laut, khususnya ketika keadaan cuaca tidak menentu dan ombak bergelora.

Sebarang maklumat yang boleh membantu operasi boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Tanjung Sedili atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil.

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON