23
Thu, Jul

MARITIM MALAYSIA PERKUKUH PEMANTAUAN PERAIRAN, ORANG RAMAI DINASIHATKAN TIDAK MENYEBARKAN MAKLUMAT BELUM DISAHKAN

KUALA KEDAH, 21 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis mengambil maklum mengenai penyebaran mesej tular di media sosial yang mendakwa terdapat beberapa bot cuba menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Rohingya melalui pesisir pantai Kuala Muda, Kuala Kedah, Yan dan Pulau Pinang.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya. Penyebaran maklumat yang tidak tepat bukan sahaja boleh mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat, malah berpotensi mengganggu usaha pemantauan, risikan dan penguatkuasaan yang sedang dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, Maritim Malaysia sentiasa memandang serius setiap maklumat yang diterima berkaitan ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan perairan negara.

"Setiap maklumat yang diterima akan dinilai, disemak dan disahkan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil. Orang ramai diminta mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi serta tidak menyebarkan dakwaan yang belum dipastikan kesahihannya kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa mempertingkat tahap kesiapsiagaan operasi melalui rondaan berterusan, pemantauan berasaskan risikan serta kerjasama strategik bersama agensi-agensi keselamatan lain bagi membanteras sebarang cubaan pencerobohan atau kemasukan PATI melalui laluan laut.

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang mengancam keselamatan dan kedaulatan perairan negara. Setiap maklumat risikan akan disusuli dengan tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya bagi memastikan sempadan maritim negara sentiasa terkawal, selamat dan terpelihara," tambah beliau.

Dalam masa yang sama, masyarakat pesisir pantai, komuniti nelayan serta pengguna laut diseru agar terus memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di laut atau kawasan pesisir.

Maritim Malaysia turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap individu yang disyaki melakukan kesalahan. Sebarang tindakan penguatkuasaan, termasuk menahan atau menangkap individu, hendaklah diserahkan kepada pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa.

Sebaliknya, maklumat hendaklah disalurkan segera melalui saluran rasmi Maritim Malaysia atau agensi keselamatan berkaitan supaya tindakan pengesahan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan cepat, berkesan dan selamat.

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON