LANGKAWI, 16 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis bersama Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Utara terus memperkukuh kerjasama strategik dalam memastikan keselamatan, keamanan dan kelancaran aktiviti maritim melalui pelaksanaan Program Operasi Bersama pada 14 hingga 15 Julai 2026 serta Mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Kerja (JKK) Wilayah Utara pada hari ini.
Program Operasi Bersama melibatkan 40 pegawai dan anggota daripada kedua-dua agensi dengan pengoperasian tiga aset Maritim Malaysia dan satu aset Jabatan Laut Malaysia bagi melaksanakan pemantauan keselamatan pelayaran, penguatkuasaan undang-undang maritim serta pemeriksaan terhadap vesel di sekitar perairan Langkawi.
Sepanjang operasi, sebanyak 2 kompaun dikeluarkan dan 34 pemeriksaan dan penggeledahan telah dilaksanakan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang maritim dan peraturan pelayaran yang berkuat kuasa. Hasil pemeriksaan turut mendapati beberapa vesel gagal mematuhi keperluan yang ditetapkan.
Sehubungan itu, JLM telah mengeluarkan surat arahan kepada pemilik atau pengusaha 11 buah bot untuk hadir ke Pejabat JLM dalam tempoh 14 hari bagi tujuan siasatan lanjut dan tindakan susulan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sebagai kesinambungan kepada operasi tersebut, Mesyuarat JKK Wilayah Utara menjadi platform penting untuk membincangkan penyelarasan operasi, perkongsian maklumat risikan dan pemantauan maritim, penyeragaman prosedur kerja, latihan bersama serta penambahbaikan mekanisme penguatkuasaan dan keselamatan pelayaran.
Pendekatan Whole of Government terus diperkasakan bagi memastikan setiap agensi memainkan peranan secara bersepadu dalam menghadapi cabaran maritim yang semakin kompleks.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, kerjasama erat antara Maritim Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia membuktikan komitmen berterusan kedua-dua agensi dalam memperkukuh tadbir urus maritim negara.
"Pelaksanaan operasi bersama dan Mesyuarat JKK ini merupakan manifestasi komitmen kedua-dua agensi dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang maritim, meningkatkan kesiapsiagaan operasi, memperkemas koordinasi serta memperkukuh perkongsian kepakaran demi memastikan perairan negara kekal selamat, teratur dan berdaulat," jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Laut Malaysia Wilayah Utara, Tuan Haji Abd. Majid bin Haji Rais berkata, mesyuarat JKK menjadi platform strategik untuk memperkukuh penyelarasan tindakan, perkongsian maklumat dan perancangan inisiatif bersama.
"Kerjasama strategik antara JLM dan Maritim Malaysia akan terus diperkasakan melalui operasi bersepadu, latihan bersama dan mesyuarat penyelarasan secara berkala bagi memastikan keselamatan pelayaran, kecekapan pengurusan maritim serta keyakinan komuniti maritim terhadap sistem keselamatan negara terus dipertingkatkan," tambah beliau.
Maritim Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia akan terus memperkukuhkan kerjasama melalui pelaksanaan operasi bersepadu, perkongsian kepakaran serta penyelarasan strategik bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat, terpelihara dan kondusif kepada pertumbuhan ekonomi maritim serta industri pelancongan negara.









