LUMUT, 3 MAC – Maritim Negeri Perak telah menahan sebuah vesel tunda dalam satu operasi rondaan rutin pada pukul 1.13 tengah hari semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob memaklumkan, vesel tunda tersebut ditahan kapal Maritim Malaysia pada kedudukan kira-kira 2.5 batu nautika barat Pulau Pangkor semasa menjalankan rondaan penguatkuasaan di perairan tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati, vesel tersebut disyaki melakukan beberapa kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, antaranya gagal mempamerkan insurans kapal, gagal mengemukakan dokumen pendaftaran kapal, tidak mempunyai Official Log Book semasa pemeriksaan serta tidak menyimpan Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) yang sah di atas kapal,” jelas beliau.
Beliau turut berkata, vesel berkenaan dikendalikan oleh enam kru terdiri daripada seorang warganegara Malaysia dan lima warganegara Indonesia.
Vesel bersama enam kru telah diiring masuk ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak untuk siasatan lanjut.
Sementara itu Shukri berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang dan peraturan perkapalan negara.
“Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan pemantauan khususnya di perairan Negeri Perak bagi memastikan semua vesel mematuhi keperluan dokumentasi dan perundangan yang telah ditetapkan.
“Kegagalan mematuhi peraturan bukan sahaja satu kesalahan, malah boleh menjejaskan aspek keselamatan pelayaran,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut menasihatkan pemilik dan pengendali vesel supaya sentiasa memastikan dokumen kapal lengkap, sah dan disimpan di atas kapal pada setiap masa bagi mengelakkan tindakan undang-undang.











