KUALA KEDAH, 7 FEBRUARI – Cubaan membawa benih kerang secara haram ke negara jiran berjaya digagalkan, apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan sebuah bot kayu dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kedah, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, bot berkenaan dikesan pada kedudukan kira-kira 1.6 batu nautika barat Kuala Tunjang sekitar pukul 1.40 petang, hasil risikan Unit Risik Maritim Negeri Kedah dan Perlis dengan kerjasama Zon Maritim Kuala Kedah serta Zon Maritim Kuala Perlis.
Beliau turut berkata, bot terbabit dikesan dalam perjalanan menuju ke daratan sebelum cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa.
“Bot PERKASA 1226 berjaya memintas bot kayu itu dan pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga Thailand berada di atas bot tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya lagi.
Menurut Azreyanti lagi, bot berkenaan turut disyaki membawa benih kerang dalam kuantiti besar secara haram, tanpa kebenaran bertulis atau permit sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia.
Sementara itu dalam operasi yang sama, dua lelaki tempatan turut ditahan di Jeti Kerpan bersama dua buah kenderaan pacuan empat roda (4x4) yang dipercayai digunakan untuk mengangkut benih kerang tersebut.
Bot, benih kerang dan kenderaan yang dianggarkan bernilai RM132 ribu dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana membawa benih kerang tanpa kebenaran bertulis serta kegagalan mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Zon Maritim Kuala Kedah akan terus mempertingkatkan rondaan dan operasi penguatkuasaan di perairan negara, sambil menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti perikanan haram, penyeludupan atau sebarang aktiviti jenayah di perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut, diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di 04-731 0579 untuk tindakan segera.













