19
Sun, Apr

ISU PENDATANG ASING TANPA IZIN MELALUI LORONG TIKUS DAN OPERASI PENGUATKUASAAN DI PERAIRAN NEGARA

PUTRAJAYA, 9 JANUARI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menafikan dakwaan yang tular di media sosial berhubung promosi aktiviti membawa masuk dan keluar Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melalui laluan yang tidak diwartakan, termasuk dari Selangor, Malaysia ke Tanjung Balai, Asahan, Indonesia.

Berdasarkan hasil siasatan Bahagian Perisikan Maritim Malaysia yang mendapati bahawa akaun-akaun terlibat dimiliki dan dikendalikan oleh individu dari negara jiran yang menetap di sana serta tidak melibatkan sebarang penglibatan, pembiaran atau kompromi oleh Maritim Malaysia.

Selain itu, kebanyakan pengusaha bot laju atau bot pancung yang terlibat dalam kegiatan tersebut juga berpangkalan di Indonesia. Maritim Malaysia juga sedar wujud pelbagai akaun di TikTok yang mempromosikan kegiatan tersebut yang mana sekiranya berlaku ianya jelas menyalahi undang-undang negara dan menimbulkan risiko keselamatan maritim, selain memberi implikasi sosial dan ekonomi yang serius.

Namun, daripada puluhan akaun yang dipantau, terdapat juga promosi seumpama yang bersifat penipuan (scam) melalui hantaran komen individu warga negara jiran yang pernah menggunakan perkhidmatan tersebut.

Maritim Malaysia sentiasa memantau dan menjalankan operasi penguatkuasaan di perairan negara bagi membanteras aktiviti membawa masuk dan keluar PATI.

Antara tangkapan terbaharu yang berjaya dibuat di mana Maritim Negeri Selangor berjaya menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) Kelas B bernombor pendaftaran SLFA 4649 pada 5 Januari 2026, sekitar jam 5.00 pagi di kedudukan 2.5 batu nautika ke barat Sekinchan.

Vesel tersebut didapati membawa keluar PATI melalui laluan tidak diwartakan. Kru VNT terdiri daripada seorang tekong dan tiga awak-awak, semuanya warganegara Indonesia, manakala seorang PATI lelaki turut berada di dalam bot.

Kes tersebut disiasat di bawah Akta Perikanan Malaysia 1985, iaitu menggaji pekerja tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan, serta pelanggaran Akta Imigresen 1959/63, kerana membawa keluar PATI melalui jalan yang tidak diwartakan. VNT dan semua individu yang terlibat telah ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah.

Sebagai usaha bersepadu untuk menangani isu ini, Maritim Malaysia turut mengambil langkah proaktif seperti menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan TikTok untuk menjejaki pemilik akaun yang mempromosikan aktiviti jenayah ini, dengan tumpuan terhadap mereka yang berada di Malaysia untuk dikenakan tindakan undang-undang.

Maritim Malaysia juga menegaskan komitmen padu untuk melindungi keselamatan perairan negara daripada sebarang ancaman lintas sempadan. Mencegah kegiatan jenayah rentas sempadan melalui pengawasan berterusan, penguatkuasaan tegas, dan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi berkaitan.

Maritim Malaysia ingin menekankan bahawa aktiviti membawa masuk dan keluar PATI bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah memberi kesan serius terhadap keselamatan dan kedaulatan perairan negara. Segala usaha penguatkuasaan akan diteruskan tanpa kompromi.

Justeru, masyarakat khususnya komuniti maritim disarankan untuk berkongsi maklumat sekiranya terdapat sebarang tindakan atau aktiviti yang mencurigakan kepada Maritim Malaysia dengan kadar segera menerusi talian NG MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim (POMAR) 019-2611833 untuk tindakan pantas diambil.

SCAM PATI 2

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON