LANGKAWI. 13 NOVEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Maritime Rescue Sub - Center (MRSC) Langkawi telah menerima aduan daripada orang awam yang memaklumkan penemuan satu mayat lelaki dewasa terdampar di Pulau Beras Basah pada pukul 4.31 petang hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, susulan laporan tersebut, sebuah bot Rigid Inflatable Boat (RIB) milik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah diatur gerak ke lokasi bagi mengambil mayat berkenaan sebelum dibawa ke Jeti Maritim Malaysia untuk diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan lanjut.
Menurut beliau lagi, sehingga 6.00 petang tadi, statistik keseluruhan penemuan mangsa adalah seramai 42 orang, terdiri daripada 14 mangsa yang ditemui hidup (12 lelaki dan 2 wanita) serta 28 mangsa yang disahkan maut (14 lelaki, 9 wanita, 2 kanak-kanak lelaki dan 3 kanak-kanak perempuan).
“Maritim Malaysia bersama agensi-agensi lain akan terus mempergiatkan usaha pencarian bagi mengesan baki mangsa yang masih hilang,” tambah beliau.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk menyalurkannya kepada MRSC Langkawi di talian 04-966 2750 atau talian kecemasan 999 bagi membantu operasi yang sedang dijalankan.










