23
Thu, Apr

CARILAMAT MANGSA BOT PATI KARAM, 2 MAYAT DITEMUKAN PAGI INI

LANGKAWI, 12 NOVEMBER – Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) insiden bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand terus dipergiatkan hari ini dengan penemuan dua lagi mayat lelaki oleh pasukan penyelamat.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa memaklumkan, pada pukul 10.10 pagi, Pasukan Polis Marin (PPM) telah menjumpai satu mayat lelaki yang terapung di perairan berhampiran Pulau Singa Besar.

Mayat berkenaan kemudian dibawa ke Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) oleh bot PSC 19 untuk diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan lanjut.

“Tidak lama selepas itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut memaklumkan penemuan satu lagi mayat lelaki dewasa di Selat Chincin, berhampiran Pulau Anak Datai.”

“Mayat tersebut telah dibawa ke Jeti Kubang Badak oleh Bot Kevlar milik JBPM dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis,” tambah beliau.

Terdahulu, seramai 200 pegawai dan anggota pelbagai agensi terlibat dalam operasi CARILAMAT pada hari ini yang telah digerakkan mulai 7.30 pagi.

Operasi hari ini turut melibatkan kekuatan 14 aset udara dan laut merangkumi aset milik Maritim Malaysia, PDRM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), JBPM serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Aset yang terlibat termasuk KM SIANGIN selaku On-Scene Coordinator (OSC), bot-bot Maritim Malaysia, aset udara CL 415, bot PSC milik Pasukan Polis Marin (PPM), pesawat Beechcraft King Air 350 milik Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM, kapal dan fast craft TLDM, helikopter AW139 JBPM serta bot Rigid Inflatable Boat (RIB) milik APM.

Bagi memaksimumkan keberkesanan pencarian, sektor pencarian hari ini telah diperluaskan dengan keluasan merangkumi 329.67 batu nautika persegi melibatkan pembahagian kepada 14 sektor pencarian.

Maritim Malaysia bersama semua agensi yang terlibat akan meneruskan usaha pencarian dan memberikan perkembangan dari semasa ke semasa sehingga operasi ini dapat ditamatkan sepenuhnya.

 

CARILAMAT FIND2
 
CARILAMAT FIND3
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON