LANGKAWI, 11 NOVEMBER – Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) insiden bot dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) karam di perairan sempadan Malaysia–Thailand hari ini mencatat perkembangan baharu apabila seorang lagi mangsa ditemui selamat, manakala empat mayat ditemukan.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa memaklumkan, berdasarkan maklumat Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi, mangsa lelaki dewasa berjaya diselamatkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira pukul 12.49 tengah hari, di lokasi 0.1 batu nautika barat Tanjung Belua.
Mangsa kemudian dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk tindakan lanjut oleh Polis.
Tidak lama selepas itu, MRSC menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan satu mayat wanita berhampiran Pulau Intan Kecil.
Pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) segera mengatur gerak bot Rigid Inflatable Boat (RIB) ke lokasi untuk membawa mayat berkenaan ke jeti bagi proses serahan kepada Polis.
Seterusnya, pada pukul 1.41 petang, Jabatan Laut Malaysia (JLM) memaklumkan penemuan satu mayat lelaki terdampar di barat Tanjung Belua.
Mayat tersebut dibawa menggunakan bot PSC 23 milik Maritim Malaysia ke jeti bagi tindakan lanjut.
Beberapa minit kemudian, Kapal Maritim (KM) SIANGIN turut mengesan satu lagi mayat lelaki di lokasi kira-kira 1.6 batu nautika dari Tanjung Belua. Mayat berkenaan dibawa oleh bot PERKASA 1226 ke jeti Maritim Malaysia.
Penemuan terakhir hari ini adalah pada pukul 4.13 petang, apabila bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) FCB 1331 menemui satu mayat lelaki sekitar 1 batu nautika dari Tanjung Belua, sebelum turut dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk diserahkan kepada Polis.
Sehingga pukul 5.30 petang, operasi CARILAMAT yang memasuki hari ketiga merekodkan 34 mangsa keseluruhan dengan 14 mangsa diselamatkan (12 lelaki dan dua wanita), manakala 20 mangsa disahkan maut, terdiri daripada tujuh lelaki, sembilan wanita, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
Maritim Malaysia menegaskan operasi pencarian masih diteruskan dengan bantuan aset pelbagai agensi termasuk PPM, JBPM, TLDM dan APM.
Kawasan pencarian ditumpukan di zon unjuran arus dan cuaca semasa yang dikenal pasti berpotensi membawa mangsa ke daratan.
Romli dalam pada itu menyeru orang ramai yang menjumpai mangsa kejadian berkenaan, diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Kedah dan Perlis di talian 04-966 2750 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.











