LANGKAWI, 11 NOVEMBER – Empat lagi mayat ditemukan hari ini dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) insiden bot yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) karam di perairan sempadan Malaysia–Thailand baru-baru ini.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, operasi yang disambung semula pada pukul 7.30 pagi itu melibatkan keluasan kawasan pencarian ditingkatkan kepada 272.78 batu nautika persegi.
Beliau memaklumkan, pada pukul 10.40 pagi tadi, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerima laporan daripada orang awam mengenai penemuan mayat lelaki dewasa berhampiran Pulau Beras Basah.
“Bot BENTENG 7 segera digerakkan ke lokasi dan mayat tersebut dibawa ke jeti Maritim Malaysia dan diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan lanjut,” jelas beliau.
Tidak lama selepas itu, KM SIANGIN menemukan satu mayat kanak-kanak lelaki terapung di perairan Tanjung Chincin, yang kemudian diserahkan kepada Bot PERKASA 1226 dan dibawa ke Jeti Teluk Ewa untuk proses penyerahan kepada pihak Polis.
“Beberapa minit kemudian, KM SIANGIN turut menemukan satu lagi mayat yang belum dikenal pasti identiti di lokasi sama. Mayat itu diserahkan kepada Bot Kevlar milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan dibawa ke Jeti Teluk Ewa untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Seterusnya pada pukul 11.20 pagi, Bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) FCB 1331, melaporkan penemuan satu lagi mayat kanak-kanak lelaki di kawasan Tanjung Belua. Mayat berkenaan turut diserahkan kepada pihak Polis selepas dibawa ke jeti Maritim Malaysia.
Romli menegaskan, Maritim Malaysia bersama semua agensi terlibat kekal komited dalam usaha mengesan mangsa lain yang masih belum ditemui.
“Walaupun keadaan laut bergelora dan keluasan kawasan pencarian menjadi cabaran utama, operasi diteruskan dengan mengutamakan aspek keselamatan serta ketepatan pencarian. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu seramai 130 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi pencarian hari ini dengan kekuatan 11 aset. Antara aset Maritim Malaysia yang dikerahkan ialah KM SIANGIN sebagai On-Scene Coordinator (OSC), Bot PETIR 81, Bot PERKASA 1226, Bot BENTENG 07 dan pesawat Bombardier CL 415.
Turut membantu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui PSC 19, PSC 23 serta pesawat Beechcraft KingAir 350 milik Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM), TLDM dengan FCB 1331, JBPM dengan Bot Kevlar, serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang menggerakkan Bot RIB.










