BINTULU, 7 NOVEMBER – Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) dua nelayan dilaporkan hilang selepas vesel yang dinaiki mereka terbalik di perairan Tanjung Payung memasuki hari kedua.Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, operasi hari kedua ini telah melibatkan penglibatan agensi sahabat iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).Keluasan pencarian hari kedua adalah seluas 35.28 batu nautika persegi melibatkan aset-aset dari Maritim Malaysia dan PDRM.Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di Pelabuhan Bintulu untuk mengkoordinasikan operasi CARILAMAT bersama agensi sahabat.“Empat mangsa yang telah diselamatkan pada malam semalam telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Nyabau Bintulu untuk menerima rawatan lanjut dan operasi untuk mencari dua lagi mangsa terus dipergiatkan dengan bantuan aset dari agensi sahabat,” katanya lagi.Bot ronda Maritim Malaysia telah menemukan vesel nelayan yang karam di kedudukan 3 batu nautika barat laut Kuala Suai pada pukul 11.35 pagi. Penandaan kedudukan vesel yang karam itu telah dilakukan oleh anggota bot untuk kerja-kerja penyelaman oleh Penyelam Penyelamat Maritim Malaysia.Operasi pada hari kedua ini telah melibatkan penglibatan seramai 31 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi, walaupun keadaan laut yang bergelora dengan ketinggian ombak 1.5 meter ke 2.5 meter tidak menjadi penghalang untuk operasi diteruskan.Maritim Malaysia turut menasihati komuniti maritim agar tidak keluar ke laut ketika cuaca buruk, serta sentiasa mematuhi prosedur keselamatan dan undang-undang pelayaran bagi mengelak kejadian tidak diingini.Sebarang maklumat atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh melaporkannya melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu (086-314 254) / Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432 544) untuk tindakan segera.













