LABUAN, 6 NOVEMBER – Tindakan pantas penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan telah menahan sebuah vesel nelayan yang membawa dua wanita warga Filipina dengan dokumen pengenalan diri yang meragukan di perairan Labuan, semalam.Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Izwanhadi bin Hj Idros berkata, penahanan tersebut dibuat hasil maklumat risikan yang diperoleh serta pemantauan berterusan dalam pelaksanaan OP SEJAHTERA 1/2022 dan OP TIRIS 3.0.“Kira-kira jam 5.30 pagi, bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah vesel nelayan yang mencurigakan sebelum merapat untuk melakukan pemeriksaan,”“Hasil pemeriksaan mendapati, vesel berkenaan membawa dua penumpang wanita warga Filipina dengan dokumen pengenalan diri yang diragui kesahihannya, manakala nakhoda bot merupakan pemegang dokumen Pas Lawatan Sosial IMM13,” jelas beliau.Vesel itu disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.Nakhoda bersama dua penumpang wanita, dokumen pengenalan diri serta vesel nelayan terbabit telah ditahan dan diiring ke Jeti Zon Maritim Labuan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.Sementara itu, Izwanhadi turut menegaskan, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh rondaan dan risikan di sekitar perairan Labuan bagi mengekang aktiviti pemerdagangan orang, penyeludupan migran serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).Jelas beliau lagi, Maritim Malaysia komited serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba melanggar undang-undang maritim negara.Orang ramai diseru agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Labuan melalui talian 087-427999 bagi untuk maklum balas segera.










