KUALA KURAU, 28 OKTOBER – Usaha membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti nelayan terus diperkukuh apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Larut Matang, Selama melaksanakan satu Operasi Bersepadu pagi tadi.
Operasi yang dijalankan bermula pada jam 8.30 pagi hingga 2.00 petang itu memberi tumpuan kepada pemeriksaan dan saringan air kencing terhadap nelayan yang dikenal pasti di kawasan perairan Larut Matang.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata, hasil saringan mendapati semua individu yang diperiksa bebas daripada pengaruh dadah, sekaligus menunjukkan tahap kesedaran yang semakin baik dalam kalangan komuniti nelayan tempatan.
Pelaksanaan operasi bersama ini membuktikan komitmen berterusan kedua-dua agensi dalam memastikan komuniti maritim kekal bebas daripada ancaman penyalahgunaan dadah yang boleh menjejaskan keselamatan dan produktiviti sektor perikanan, katanya lagi.
Tambah beliau, kerjasama strategik di antara Maritim Malaysia dan AADK ini akan diteruskan secara berkala bagi memperkukuh usaha pencegahan dadah serta meningkatkan kesedaran komuniti nelayan terhadap kepentingan gaya hidup sihat dan bebas dadah.
Beliau turut menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan terus menjalin kerjasama rentas agensi bagi memastikan kawasan perairan negara kekal selamat dan komuniti maritim tidak terjebak dengan aktiviti tidak bermoral yang boleh menjejaskan keselamatan perairan negara.













