KOTA BHARU, 29 OKTOBER – Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot fiber miliknya mengalami kerosakan pada enjin dan hanyut di perairan Pantai Kemasin, Bachok semalam telah ditemukan selamat, pagi semalam.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah bin Soahdi, insiden tersebut dimaklumkan kepada pihak Maritim Negeri Kelantan pada jam 7.30 malam, hari Isnin (27 Oktober), selepas menerima laporan awam mengenai sebuah bot fiber yang hanyut dan tidak dapat dihubungi kira-kira satu batu nautika dari Pantai Kemasin.
Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan kemudiannya mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada malam yang sama dengan penglibatan aset laut Maritim Malaysia dengan sokongan agensi sahabat.
Pada jam 10.30 pagi, hari Selasa (28 Oktober), Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Negeri Kelantan telah menerima makluman daripada pengadu yang memaklumkan bahawa ; Mangsa telah dijumpai dalam keadaan selamat. Difahamkan, mangsa berjaya menghidupkan semula enjin bot dan seterusnya kembali ke Jeti Pasar Nelayan Sabak dengan selamat.
Maritim Malaysia menasihatkan komuniti nelayan supaya sentiasa memastikan peralatan bot berada dalam keadaan baik, membawa jaket keselamatan, peralatan komunikasi, dan Suar Penentu Lokasi Peribadi (PLB) bagi memudahkan pengesanan sekiranya berlaku kecemasan di laut.













