SEPANG, 27 Oktober – Kecekapan dan kesiapsiagaan kru pesawat udara Maritim Malaysia sekali lagi dibuktikan apabila melaksanakan misi pemindahan perubatan (MEDEVAC) melibatkan pelumba antarabangsa Jose Antonio Rueda, penunggang Moto3 dari pasukan Red Bull KTM Ajo di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), tengah hari semalam.
Misi berkenaan dilaksanakan menggunakan pesawat AS365 N3 Dauphin dengan tanda panggilan MEDEVAC 2 (M70-01 / MAR399C) yang diatur gerak dari SIC pada jam 12.50 tengah hari bagi membawa pelumba berkenaan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.
Pesawat yang dikemudi oleh Leftenan Komander Maritim Mohd Akil bin Md Yussof, dibantu Leftenan Maritim Mohd Hairul bin Mohd Yassin serta Kru Pesawat, Bintara Muda Maritim Wan Ahmad Fahmi bin Wan Zakaria, turut membawa seorang doktor, paramedik dan pegawai pasukan yang mengiringi pesakit sepanjang penerbangan.
Pesawat selamat mendarat di HKL pada jam 1.10 petang, dan proses pemindahan pesakit berjalan lancar dengan kerjasama petugas kesihatan hospital sebelum pesawat kembali ke SIC bagi meneruskan penugasan di SIC sempena kejohanan MotoGP Malaysia 2025.
Penglibatan aset udara Maritim Malaysia dalam acara berprofil tinggi ini mencerminkan komitmen agensi dalam menyokong kesiapsiagaan kecemasan nasional, selain memperkukuh imej negara dalam aspek keselamatan dan bantuan kemanusiaan di arena antarabangsa.













