PELABUHAN KLANG, 19 OKTOBER – Sebuah bot penumpang bersama seorang penumpang warga asing tanpa dokumen pengenalan diri ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor dalam satu operasi petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot berkenaan ditahan pada kedudukan 0.24 batu nautika barat daya Tanjung Harapan oleh kapal Maritim yang sedang melaksanakan rondaan OP EHSAN, OP TIRIS dan OP MURNI di perairan Selangor.
“Kira-kira pukul 2.50 petang, pasukan Maritim telah memeriksa sebuah bot penumpang yang sarat membawa penumpang dari Jeti Awan, Pelabuhan Klang menuju ke Pulau Ketam,” jelas beliau.
Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh dua warga tempatan berusia 27 dan 24 tahun yang bertindak sebagai nakhoda dan kru.
Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen operasi mendapati bot berkenaan melanggar syarat lesen dengan membawa lebihan penumpang serta menggunakan alat pemadam api yang telah tamat tempoh.
“Selain itu, seorang penumpang lelaki warga Myanmar berusia 41 tahun turut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dijalankan,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) kerana melanggar syarat sah lesen operasi, manakala penumpang warga asing tersebut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Bot, dua kru dan penumpang warga asing berkenaan telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.
Abdul Muhaimin menegaskan, pengusaha bot penumpang perlu mematuhi semua syarat keselamatan dan peraturan operasi bagi mengelakkan tindakan undang-undang serta memastikan keselamatan penumpang sentiasa terjamin.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuai dan mengabaikan keselamatan awam di laut,” tegasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau insiden kecemasan di laut boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.












