KEMAMAN, 18 OKTOBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kemaman telah menzahirkan komitmen terhadap tanggungjawab sosial dan keagamaan dengan menyertai Misi Pelepasan Abu Al-Quran Kali Ke-24 yang dianjurkan oleh Yayasan Mahabbah Malaysia Berhad bersama Pusat Pemurnian Mushaf Al-Quran di perairan Kemaman, semalam.
Misi berkenaan melibatkan seramai 20 orang peserta dengan pelaksanaan pelepasan dua tan abu Al-Quran ke laut secara teratur dan berprosedur, berlandaskan garis panduan yang ditetapkan bagi memelihara kesucian serta kehormatan kitab suci Al-Quran.
Bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pelaksanaan misi, Maritim Malaysia telah menugaskan sebuah aset bot bersama anggota operasi untuk memberikan kawalan keselamatan serta pengiring sepanjang proses pelepasan dijalankan.
Langkah ini mencerminkan iltizam berterusan Maritim Malaysia dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik dengan badan bukan kerajaan (NGO), di samping mendukung usaha memperkasa nilai keagamaan dan kemasyarakatan secara berhemah serta beretika.
Menurut Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Bin Hamzah, penglibatan Maritim Malaysia dalam misi ini bukan sahaja menyokong inisiatif pemeliharaan kesucian Al-Quran, malah memperlihatkan keprihatinan agensi terhadap keselamatan dan keteraturan sebarang aktiviti yang dilaksanakan di perairan negara.
“Maritim Malaysia sentiasa bersedia menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan setiap aktiviti di laut berlangsung dalam keadaan selamat, berprosedur dan mematuhi undang-undang. Dalam misi kali ini, aspek kesucian, keselamatan dan pematuhan tatacara menjadi keutamaan,” jelas beliau.
Maritim Malaysia akan terus mempergiat usaha memperkukuh kolaborasi dengan pelbagai agensi dan organisasi dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terjamin serta menyokong aktiviti kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara.











