23
Thu, Apr

USAHA SELUDUP PATI DAN DADAH GAGAL – SEORANG DIBERKAS, DUA NEKAD TERJUN LAUT

TANJUNG BIDARA, 10 OKTOBER – Cubaan tiga lelaki dipercayai warga Indonesia untuk menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dadah keluar dari perairan Malaysia gagal apabila bot gentian yang dinaiki mereka karam setelah melanggar bot ronda Maritim Malaysia yang sedang beroperasi di perairan Tanjung Bidara awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin bin Zakaria berkata, kejadian berlaku sekitar 4.00 pagi hasil maklumat risikan yang mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot dari Pulau Rupat, Indonesia, dipercayai ingin memasuki perairan Malaysia.

Bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan OP MURNI, dikerah ke lokasi berjaya mengesan sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran bergerak dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 2.3 batu nautika barat daya Tanjung Bidara, Melaka.

Apabila diarah berhenti untuk diperiksa, bot berkenaan bertindak agresif dan melanggar bot ronda Maritim Malaysia.

Ketika kejadian, dua daripada tiga suspek bertindak nekad terjun ke laut bagi meloloskan diri, manakala seorang lagi suspek berjaya ditahan selepas bot berkenaan hilang kawalan dan terbalik.

Siasatan awal turut mendapati bot tersebut disyaki menuju ke Pengkalan Balak, Melaka, bagi mengambil PATI serta dadah untuk diseludup keluar dari Malaysia.

Suspek yang ditahan merupakan warga Indonesia berusia 37 tahun dan telah dibawa ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran.

Operasi CARILAMAT turut diaktifkan bagi mengesan dua lagi suspek yang terjun ke laut semasa kejadian.

Maritim Malaysia menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti jenayah rentas sempadan, serta akan terus mempertingkatkan rondaan dan risikan di sepanjang perairan negeri ini.

PATI MELAKA
 
PATI MELAKA4
 
PATI MELAKA3

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON