PELABUHAN KLANG, 9 OKTOBER – Tindakan tidak bertanggungjawab sebuah bot penumpang yang membawa penumpang melebihi kapasiti dibenarkan, mengundang padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor berhampiran Pulau Ketam, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot tersebut ditahan pada jarak kira-kira 0.4 batu nautika barat daya Pulau Ketam selepas pihaknya menerima aduan awam pada sekitar jam 1.55 petang mengenai sebuah bot yang membawa lebihan penumpang di jeti penumpang Pulau Ketam.
Jelas beliau, bertindak atas maklumat tersebut, sebuah bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan bot berkenaan tidak lama kemudian.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan oleh tiga kru warga tempatan terdiri daripada seorang nakhoda berusia 63 tahun serta dua kru masing-masing berusia 33 dan 59 tahun,” ujar beliau.
Abdul Muhaimin turut memaklumkan, pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan membawa 48 penumpang melebihi had dibenarkan iaitu seramai 12 orang seperti yang ditetapkan dalam lesen sah operasi.
“Tindakan membawa lebihan penumpang ini adalah kesalahan serius kerana melibatkan keselamatan nyawa sekiranya berlaku kecemasan atau kejadian tidak diingini,” tegas Muhaimin.
Beliau menambah, pihaknya telah mengeluarkan beberapa kali amaran, namun kes seumpama ini masih berulang dan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha yang melanggar syarat lesen.
Bot terbabit bersama tiga kru dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim agar mematuhi syarat lesen dan aspek keselamatan penumpang setiap masa, selain meminta orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan kecemasan di laut melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor melalui talian 013-660 6652 atau 999 untuk tindakan segera.












