LANGKAWI, 7 OKTOBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Kedah dan Perlis serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis telah melaksanakan Operasi Bersepadu selama dua hari bagi mempertingkatkan penguatkuasaan dan kawalan keselamatan di perairan Kedah dan Perlis.
Operasi tersebut dimulakan dengan taklimat pelaksanaan oleh Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Perlis, Leftenan Maritim Fazmin Shah bin Md Rafee Shah di Pejabat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, sebelum pasukan penguat kuasa digerakkan ke laut dengan penglibatan aset Maritim Malaysia dan Jabatan Perikanan.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, pelaksanaan operasi bersepadu ini bukan sahaja memperkukuh penguatkuasaan undang-undang maritim tetapi juga menjadi platform penyelarasan taktikal antara agensi dalam memastikan keselamatan dan kelestarian sumber laut negara terus terpelihara.
“Kerjasama strategik antara Maritim Malaysia, Jabatan Perikanan dan MKN ini membuktikan kesepakatan semua agensi dalam memastikan aktiviti penangkapan hasil laut dijalankan secara sah serta menghalang sebarang bentuk eksploitasi sumber maritim negara,” katanya.
Objektif utama operasi ini adalah bagi membanteras jenayah rentas sempadan, membanteras aktiviti perikanan tidak sah, tidak dilapor dan tidak dikawal selia (IUU Fishing), membanteras kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta memperkukuh hubungan strategik antara agensi.
Sasaran operasi tertumpu kepada pemeriksaan ke atas aktiviti bot barter trade Thailand–Malaysia serta pemeriksaan ke atas vesel-vesel penangkapan ikan tempatan dan asing bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan syarat lesen perikanan yang ditetapkan.
Sepanjang tempoh operasi, pasukan penguat kuasa telah melaksanakan pemeriksaan dan pengeledahan ke atas beberapa vesel nelayan tempatan dan berjaya membuat tiga tangkapan di bawah Akta Perikanan 1985. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM300 ribu melibatkan hasil laut, bot fiber dan peralatan menangkap ikan.
Maritim Malaysia akan terus mempertingkat operasi bersama pelbagai agensi dari semasa ke semasa bagi memastikan perairan negara bebas daripada aktiviti perikanan haram, pencerobohan dan jenayah rentas sempadan.













