BALTIMORE, 5 OGOS – Empat pegawai penguat kuasa Maritim Malaysia telah berjaya menamatkan Kursus Port Engineer anjuran Surface Forces Logistics Center (SFLC), United States Coast Guard Yard di Baltimore, Maryland, Amerika Syarikat.
Kursus yang berlangsung selama sebulan ini bermula dari 20 Jun hingga 20 Julai.
Kursus ini menumpukan kepada aspek pengurusan serta teknikal kejuruteraan yang melibatkan penyelenggaraan dalam pencegahan (preventive) dan pembaikan (corrective) yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan aset Maritim Malaysia.
Peserta kursus ini terdiri daripada, Leftenan Komander Maritim Mohd Hazwan bin Hamzah, Leftenan Komander Maritim Mohd Faiz bin Sujari, Leftenan Maritim Mohamad Saiful Umar bin Mohd Noor dan Leftenan Madya Maritim Nor Farhadina binti Abdul Halim.
Melalui penglibatan pegawai Maritim Malaysia dalam kursus di peringkat antarabangsa ini, membuktikan komitmen berterusan Agensi dalam memperkasakan modal insan dan memperkukuhkan aspek teknikal demi kesiapsiagaan operasi yang lebih mantap.













